Industri pembinaan Malaysia memasuki fasa pertumbuhan penting yang didorong projek infrastruktur awam dan pelaburan swasta, namun keupayaannya untuk menangani kekurangan tenaga mahir, peningkatan kos, produktiviti serta keselamatan bakal menentukan sama ada momentum itu dapat dikekalkan, lapor New Straits Times.
Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Ahmad Farrin Mokhtar berkata cabaran industri kini bukan sekadar membina lebih banyak projek, tetapi melaksanakannya dengan lebih baik, pantas, selamat dan menguntungkan.
“Industri perlu mampu melaksanakan projek dengan lebih cekap, selamat dan mampan, sambil meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kebergantungan kepada kaedah berintensifkan buruh,” katanya.
Nilai kerja pembinaan Malaysia meningkat 12.5% kepada RM178.6 bilion pada 2025, manakala suku pertama 2026 mencatat pertumbuhan 8.5% tahun ke tahun kepada RM46.5 bilion.
Ahmad Farrin berkata permintaan seterusnya bukan sahaja datang daripada projek jalan raya, rel dan bangunan, malah pusat data, pembuatan termaju, tenaga boleh baharu dan hab logistik yang memerlukan kepakaran lebih kompleks.
Bagaimanapun, kontraktor turut berdepan kenaikan kos bahan dan buruh, gangguan rantaian bekalan, risiko iklim serta margin yang semakin mengecil. Ahmad Farrin berkata penggunaan Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM), dron, sensor, kecerdasan buatan (AI) dan analitik data boleh membantu meningkatkan produktiviti serta mengesan risiko kos dan kelewatan lebih awal. “Persediaan yang tidak mencukupi sering mengakibatkan perubahan, pertikaian, kelewatan dan peningkatan kos ketika pelaksanaan,” katanya.
Beliau turut menggesa perubahan dalam kaedah perolehan dengan mengurangkan penekanan terhadap tawaran harga terendah dan memberi lebih perhatian kepada keupayaan kontraktor, prestasi terdahulu, kekuatan kewangan, keselamatan serta kualiti. Transformasi itu turut memerlukan tenaga kerja lebih berkemahiran dalam bidang seperti BIM, pengendalian mesin, keselamatan dan teknikal, selain sokongan kepada kontraktor kecil dan sederhana untuk mengguna pakai automasi serta teknologi digital.
Ahmad Farrin berkata keselamatan kekal antara ujian terbesar industri, dengan 68 kematian di tapak pembinaan direkodkan pada 2023, 66 pada 2024 dan 35 sehingga Oktober 2025. “Teknologi boleh menyokong langkah-langkah ini, tetapi ia tidak boleh menggantikan budaya keselamatan yang kukuh,” katanya.






















