Satu delegasi berprofil tinggi dari Amerika Syarikat dijadual tiba di Greenland minggu ini untuk melawat pangkalan tentera Amerika dan menyaksikan perlumbaan anjing luncur salji, sementara Presiden Donald Trump terus mempromosi idea untuk AS mengambil alih wilayah strategik Denmark yang separa autonomi itu.
Usha Vance, isteri kepada Naib Presiden JD Vance, akan mengetuai delegasi tersebut yang turut disertai Penasihat Keselamatan Negara Rumah Putih Mike Waltz dan Setiausaha Tenaga Chris Wright.
Waltz dan Wright merancang untuk melawat pangkalan angkasa Pituffik, iaitu pangkalan tentera AS di Greenland.
Rumah Putih berkata mereka akan menerima taklimat daripada anggota tentera AS yang bertugas di situ.
Mereka kemudiannya akan menyertai Usha Vance untuk melawat beberapa tapak bersejarah dan menghadiri perlumbaan anjing luncur salji kebangsaan.
Jurucakap Majlis Keselamatan Negara Rumah Putih Brian Hughes berkata pasukan AS “yakin lawatan ini merupakan peluang untuk mengukuhkan kerjasama yang menghormati hak penentuan nasib sendiri Greenland serta memajukan kerjasama ekonomi.”
“Ini adalah lawatan untuk mengenali Greenland—budayanya, sejarahnya, dan rakyatnya—serta menghadiri perlumbaan anjing luncur salji yang ditaja Amerika Syarikat,” kata Hughes.
Pengambilalihan Greenland
Trump menjadikan pengambilalihan Greenland oleh AS sebagai topik utama sejak beliau memulakan penggal keduanya pada 20 Januari.
Greenland mempunyai kedudukan strategik dan kaya dengan sumber mineral.
Ia terletak di laluan terpendek dari Eropah ke Amerika Utara, penting bagi sistem amaran peluru berpandu balistik AS.
Kedua-dua kerajaan Greenland dan Denmark telah menyuarakan bantahan terhadap idea tersebut.
Kerajaan Greenland, yang kini berada dalam tempoh peralihan selepas pilihan raya umum pada 11 Mac dimenangi parti yang menyokong pendekatan perlahan dalam mencapai kemerdekaan dari Denmark, tidak memberi sebarang komen.
Perdana Menteri Denmark Mette Frederiksen dalam kenyataan bertulis berkata “Kami ambil serius tentang perkara ini.”
Beliau berkata Denmark mahu bekerjasama dengan AS, tetapi kerjasama itu mestilah berdasarkan “prinsip asas kedaulatan.”
Beliau menambah dialog dengan AS berkaitan Greenland akan diadakan dengan penyelarasan rapat antara kerajaan Denmark dan kerajaan Greenland yang akan datang.
SUMBER: Reuters

















