Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul mempertahankan keputusannya mengusir seorang warga Israel susulan tingkah laku berunsur ancaman, sambil menegaskan tindakan itu selaras dengan undang-undang dan kepentingan keselamatan negara, menurut laporan The Nation.
Anutin, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata tindakan itu dibuat susulan pindaan peraturan Pejabat Perdana Menteri bagi membolehkan penguatkuasaan lebih pantas dan tegas terhadap warga asing yang melakukan perbuatan tidak wajar di Thailand.
Beliau berkata kerajaan mempunyai hak untuk mengusir warga asing sekiranya tindakan mereka terhadap rakyat Thailand atau tingkah laku ketika berada di negara itu dianggap tidak boleh diterima, tidak wajar atau mengancam keselamatan negara dan orang awam.
Thailand, katanya, mahu terus mengalu-alukan pelancong dari seluruh dunia, namun menegaskan mereka perlu menghormati undang-undang, rakyat serta adat, budaya dan tradisi negara itu.
“Jika mereka datang ke sini dan berkelakuan tidak wajar, kami berhak meminta mereka meninggalkan negara kami,” katanya.
Anutin berkata pendekatan sama akan digunakan terhadap kes lain yang memenuhi kriteria ditetapkan bagi memastikan undang-undang dikuatkuasakan dengan segera dan tegas, selain melindungi keselamatan negara serta rakyat Thailand.

























