Pasaran tenaga global kembali bergolak susulan ketegangan terbaharu di Asia Barat yang menyaksikan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran mengumumkan penggantungan laluan perkapalan di Selat Hormuz, menurut laporan The Nation.
Tindakan tersebut, yang diambil sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas Lubnan, telah menyebabkan ratusan kapal tangki terkandas dan memberi tekanan besar ke atas rantaian bekalan minyak dunia.
Thailand kini merasai impak langsung memandangkan negara itu bergantung kepada import minyak mentah dari Asia Barat yang merangkumi 52 peratus daripada jumlah keseluruhan importnya.
Konflik itu turut menyebabkan kos tersembunyi seperti kenaikan premium risiko perang, kadar insurans dan caj pengangkutan yang melonjak tinggi, sekali gus menjadikan kos sebenar minyak mentah lebih mahal daripada harga pasaran semasa.
Kementerian Tenaga Thailand dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan sedang menyemak semula struktur harga daripada pengendali penapisan minyak bagi memastikan ketelusan dan keadilan dalam sistem tenaga domestik.
Langkah ini diambil bagi memastikan harga runcit mencerminkan kos sebenar yang ditanggung akibat gangguan logistik di laluan perdagangan utama dunia itu.
Meskipun berdepan cabaran global, kementerian mengesahkan bahawa tahap keselamatan tenaga negara masih stabil dengan rizab minyak yang mampu menampung keperluan selama 109 hari.
Rizab ini merangkumi stok simpanan undang-undang, rizab komersial, serta bekalan minyak yang kini dalam perjalanan dan penghantaran yang telah disahkan.
Bagi bahan api diesel yang menjadi nadi sektor pengangkutan dan ekonomi, kapasiti pengeluaran Thailand dilaporkan masih melebihi permintaan domestik, dengan pengeluaran mencecah 83.37 juta liter sehari berbanding penggunaan sekitar 68.69 juta liter.
Walau bagaimanapun, Dana Bahan Api Minyak Thailand kini menanggung defisit besar mencecah 59 bilion baht akibat usaha berterusan kerajaan mengekalkan subsidi harga diesel.
Kementerian Tenaga dilaportkan akan terus memantau rapat perkembangan geopolitik dunia bagi mengimbangi antara usaha meringankan kos sara hidup rakyat dan mengekalkan kestabilan kewangan dana tenaga negara.











