Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan bekalan bahan api Malaysia kekal stabil dan mencukupi sehingga kini tanpa perlu melaksanakan sebarang langkah catuan.
Beliau menyatakan kesyukuran kerana Malaysia merupakan antara negara yang masih mampu menjamin ketersediaan bekalan kepada rakyat.
Menurut beliau, pengurusan PETRONAS yang cekap serta dasar ekonomi yang baik membolehkan negara mengelakkan situasi sukar seperti beratur panjang di stesen minyak atau larangan penggunaan kenderaan.
Kecekapan ini juga disokong oleh pentadbiran di bawah Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang menjamin kepantasan pengurusan bekalan.
"Kita syukur sebab ini satu-satunya negara yang bekalan ada. Belum perlu ada catuan, belum berbaris, belum perlu dilarang penggunaan kenderaan. Ini maknanya bekalan cukup sebab pengurusan PETRONAS dan dasar ekonomi yang baik," ujar beliau.
Meskipun bekalan ketika ini mencukupi, kerajaan tetap memantau situasi tersebut setiap hari secara teliti.
Malaysia turut menghantar pegawai ke negara-negara di Afrika, Amerika Latin dan Turkmenistan bagi meneroka peluang mendapatkan telaga minyak dan gas baharu bagi menjamin kelestarian tenaga masa hadapan.
Perdana Menteri turut membandingkan situasi domestik dengan keadaan di sebuah negara jiran di mana 400 stesen minyak dilaporkan terpaksa ditutup.
Beliau turut menarik perhatian bahawa dalam persidangan ASEAN di Cebu, Filipina baru-baru ini, kebimbangan mengenai kekurangan bekalan petrol dan diesel serta lonjakan harga menjadi topik utama perbincangan pemimpin serantau.
Situasi global kini berdepan cabaran besar bukan sahaja disebabkan faktor Selat Hormuz, tetapi juga akibat peperangan yang menjejaskan negara-negara pengeluar minyak.
Gangguan dalam pengeluaran minyak dan gas tersebut, mengikut teori penawaran dan permintaan, telah menyebabkan harga bahan api melambung tinggi di pasaran antarabangsa, tambah Anwar.













