Malaysia kutuk sekatan rejim Zionis di Masjid Al-Aqsa
Sekatan yang bersifat diskriminasi itu dianggap sebagai pencabulan nyata terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta status quo sejarah Baitulmaqdis.
Kerajaan Malaysia mengecam tindakan berterusan rejim Zionis Israel yang menutup pintu Masjid Al-Aqsa daripada jemaah umat Islam, terutamanya ketika umat Islam sedang menjalani ibadah di bulan suci Ramadan.
Sekatan yang bersifat diskriminasi itu dianggap sebagai pencabulan nyata terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta status quo sejarah Baitulmaqdis.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan menegaskan bahawa tindakan sewenang-wenang rejim tersebut di Kota Lama Baitulmaqdis bukan sahaja melanggar hak penganut agama untuk beribadat, malah merupakan satu provokasi melampau yang sengaja mencetuskan ketegangan di Wilayah Palestin yang diduduki.
“Malaysia dengan tegas menolak langkah-langkah yang menyalahi undang-undang dan tidak berasas ini, serta mengecam usaha berterusan Israel untuk menjejaskan kesucian dan status Masjid Al-Aqsa.
“Israel tidak mempunyai kedaulatan ke atas Baitulmaqdis Timur mahupun ke atas tapak-tapak suci Islam dan Kristian di kawasan tersebut. Keseluruhan kompleks Masjid Al-Aqsa/Al-Haram Al-Sharif seluas 144 dunam (144 ribu meter persegi) merupakan tempat ibadat umat Islam,” kata Wisma Putra.
Malaysia turut mengulangi pendirian bahawa Jabatan Hal Ehwal Masjid Al-Aqsa di bawah kementerian berkaitan di Jordan merupakan satu-satunya pihak berkuasa yang sah dan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pentadbiran serta kawalan akses di kawasan tersebut.
Sebarang cubaan Israel untuk mencampuri urusan pentadbiran itu dianggap melampaui batas perundangan antarabangsa yang sedia ada.
Susulan itu, Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa agar segera mendesak Israel untuk menghentikan segala amalan haram dan pelanggaran berterusan terhadap tapak-tapak suci tersebut.
Masyarakat dunia diminta tidak berdiam diri terhadap usaha rejim Zionis yang mahu mengubah fakta sejarah dan undang-undang yang telah sekian lama mengawal selia kawasan suci di Baitulmaqdis.
Sebagai sebuah negara yang sentiasa menyokong perjuangan Palestin, Kementerian Luar berkata Malaysia kekal komited untuk menyuarakan bantahan di pentas global bagi memastikan kesucian Masjid Al-Aqsa terus terpelihara.
Malaysia turut menuntut agar kehormatan dan status sejarah tapak-tapak suci ini dikembalikan bagi membolehkan umat Islam menunaikan ibadah dengan aman tanpa ancaman ketenteraan.