Sempadan kembali stabil pasca gencatan senjata, namun masih berisiko – Tentera Thai
Dalam taklimat pada Isnin, Kawasan Tentera Kedua Thailand berkata tiada penggunaan senjata berat atau pertempuran dikesan sepanjang hari pertama pelaksanaan gencatan senjata.
Tentera Thailand memaklumkan keadaan di sepanjang sempadan Thai–Kemboja lebih tenang pada hari pertama susulan gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 28 Disember, lapor The Nation.
Dalam taklimat pada Isnin, Kawasan Tentera Kedua Thailand berkata tiada penggunaan senjata berat atau pertempuran dikesan sepanjang hari pertama pelaksanaan gencatan senjata.
Bagaimanapun, penilaian itu menyatakan keadaan masih rapuh dan memerlukan pemantauan rapi secara berterusan.
Ketegangan sudah berkurangan, namun risiko keselamatan jangka sederhana kekal, terutama dalam tempoh awal pasca gencatan senjata.
Menurut laporan tersebut, pasukan Kemboja dilihat mengurangkan penggunaan senjata berat yang mudah dikenal pasti seperti artileri dan pelancar roket berganda BM-21.
Sebaliknya, mereka didakwa beralih kepada aktiviti berintensiti rendah seperti penggunaan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) untuk pemantauan, selain pergerakan anggota dan bekalan melalui laluan kawasan awam.
Sementara itu, pasukan Thailand mengekalkan kedudukan sedia ada, meneruskan pengawasan dan mengekalkan tahap kesiapsiagaan tinggi.
Pergerakan tentera dan aktiviti udara kedua-dua pihak dilaporkan berada pada tahap “terkawal”, tanpa perubahan pada garis pertahanan atau cubaan untuk menyerang.
Kawasan Tentera Kedua menilai corak itu sebagai “gencatan senjata bersifat politik” yang berlaku seiring dengan aktiviti ketenteraan tahap rendah.
Aktiviti seperti pengintipan menggunakan UAV, dakwaan pemasangan periuk api, dan penggunaan kawasan awam sebagai laluan dilihat bertujuan untuk risikan, selain mengekalkan kelebihan wilayah masing-masing tanpa mencetuskan pelanggaran gencatan senjata secara jelas.
Dalam jangka terdekat, keadaan diramal kekal “tenang dari segi taktikal tetapi tegang dalam wilayah”.
Pihak berkuasa menegaskan keperluan memperketat rondaan, pemeriksaan kawasan dan operasi pembersihan periuk api bagi mengelak ketegangan atau pelanggaran gencatan senjata pada masa hadapan.