Kerajaan Malaysia akan menaikkan jumlah subsidi bulanan bagi petrol dan diesel dari RM700 juta kepada RM3.2 bilion susulan peningkatan harga bahan api akibat konflik di Asia Barat.
Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata ini merupakan usaha kerajaan untuk terus menjaga kebajikan rakyat.
Katanya, subsidi kerajaan bagi petrol menerusi inisiatif BUDI95 meningkat kepada RM2 bilion, manakala subsidi diesel naik kepada RM1.2 bilion sebulan.
"Walaupun Kerajaan MADANI menangani implikasi kenaikan harga minyak global, kerajaan akan terus mengambil penekanan untuk memastikan rakyat disokong dan kita dapat mengekalkan pemberian inisiatif BUDI95.
"Beban ini masih boleh ditampung kerajaan kerana kita sudah melaksanakan banyak reformasi dan konsolidasi fiskal dalam tiga tahun kerajaan MADANI memerintah," katanya pada sidang media pasca mesyuarat khas Jemaah Menteri hari ini.
Amir Hamzah berkata, prestasi pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan pada tahun lalu dijangka menjadi pemangkin kepada momentum negara walaupun berdepan cabaran global.
Tambahnya, pertumbuhan ekonomi pada 2025 telah melebihi sasaran kerajaan dan ini menunjukkan asas ekonomi negara kekal kukuh, sekali gus memberi sokongan kepada prospek pertumbuhan pada tahun ini.
"Alhamdulillah… tahun lepas kita dapat lihat ekonomi Malaysia kembali rancak. Pada suku keempat bagi tahun 2025, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah 6.3 peratus dan keseluruhan tahun itu 5.2 peratus yang dipacu oleh pembaharuan ekonomi yang ada, pelaburan domestik yang berlaku dan perbelanjaan yang ada dalam negara.
"Kita rasa isu ini akan terus mempengaruhi tahun ini. Jadi kita bermula dengan keadaan yang lebih stabil dan lebih kuat ke hadapan," katanya.











