Insiden ganas kembali menghantui wilayah sempadan selatan Thailand pada awal pagi hari ini susulan kejadian tembak-menembak yang melibatkan pihak berkuasa Thai dan kumpulan bersenjata di Yala, menurut laporan The Nation.
Penduduk setempat dan pihak berkuasa memaklumkan kejadian berlaku di Kampung Ban Po Yani, berhampiran kawasan “Markaz” atau pusat dakwah, tidak jauh dari kawasan pasar lama di daerah Mueang Yala.
Bunyi tembakan dilaporkan kedengaran sejak sekitar jam 3.30 pagi dan masih berterusan selepas matahari terbit.
Menurut laporan, keadaan masih belum terkawal dan pasukan keselamatan meneruskan operasi penguatkuasaan undang-undang.
Maklumat awal menyatakan sebelum insiden berbalas tembakan itu bermula, pasukan keselamatan bertindak mengepung sebuah rumah teres dua tingkat di belakang kawasan pasar lama, yang dipercayai menjadi tempat persembunyian anggota kumpulan bersenjata itu.
Hasil risikan mendapati dua individu yang disyaki terlibat dengan anggota kumpulan pemberontak berada di dalam rumah berkenaan pada waktu itu.
Setakat ini, tiada kecederaan atau korban jiwa dilaporkan, namun situasi masih dipantau rapi dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan.






