ASIA
2 min membaca
Kadar pengangguran Malaysia turun kepada 2.9 peratus, didorong impak positif TVET
Perkembangan positif pasaran buruh negara ini mencerminkan ketersediaan peluang pekerjaan yang meluas serta keberkesanan inisiatif strategik kerajaan.
Kadar pengangguran Malaysia turun kepada 2.9 peratus, didorong impak positif TVET
(FAIL) Zahid Hamidi berkata data terbaharu itu telah dibentangkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat Jemaah Menteri baru-baru ini. / Facebook

Kadar pengangguran di Malaysia mencatatkan penurunan yang memberangsangkan tahun lalu apabila mencecah 2.9 peratus berbanding 3.2 peratus pada 2024, menurut laporan Harian Metro.

Perkembangan positif pasaran buruh negara ini mencerminkan ketersediaan peluang pekerjaan yang meluas serta keberkesanan inisiatif strategik kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata data terbaharu itu telah dibentangkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat Jemaah Menteri baru-baru ini.

Penurunan ini, katanya, turut dipacu secara langsung oleh penekanan berterusan kerajaan terhadap pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

"Dulu terdapat pengangguran, sekarang ini terdapat peluang pekerjaan, banyak di dalam bidang teknikal yang latihannya dibuat oleh institusi TVET. Ia sekali gus menunjukkan usaha kita mahu mewujudkan tenaga-tenaga mahir dalam bidang teknikal ini telah membuahkan hasil," kata Ahmad Zahid ketika merasmikan Hari Kemahiran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) peringkat negeri Johor di Dataran Labis.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara memetik pencapaian institusi latihan di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang merekodkan kadar kebolehpasaran tinggi graduan sehingga 99.5 peratus.

Selain itu, katanya agensi seperti KEMAS turut memainkan peranan penting dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran menerusi pelbagai kursus praktikal termasuk bidang rekaan pakaian, kulinari dan pengkomputeran.

"Statistik dan kejayaan ini semua tidak lain kerana hasil kesungguhan kita melalui kementerian, jabatan berkaitan, agensi-agensi, anak-anak syarikat agensi, melakukan perancangan untuk kebajikan rakyat dengan ikhlas dan tekun," tambah beliau.

Bagi memastikan momentum kejayaan ini diiktiraf di peringkat tertinggi, Ahmad Zahid mengarahkan pihak pengurusan KEMAS untuk menyediakan satu kertas nota rasmi bagi membentangkan segala pencapaian agensi tersebut kepada Jemaah Menteri, khususnya dalam melahirkan usahawan luar bandar yang berdaya saing.