Pilihan raya awal Myanmar bermula, 10 individu didakwa edar risalah anti-pilihan raya

Menurut polis, kumpulan itu mengedar risalah di jalan raya pada 3 Disember sambil melaungkan mesej yang didakwa bertujuan mengelirukan orang ramai mengenai pilihan raya.

By
Pengundian awal diadakan di Kedutaan Myanmar di Washington, DC pada 7 Disember. / Foto: FB Kementerian Luar Myanmar / Other

Sepuluh individu, termasuk doktor dan aktivis Tayzar San, didakwa di bawah Undang-Undang Keselamatan Pilihan Raya Myanmar selepas dipercayai menyebarkan risalah anti-pilihan raya di kawasan pentadbiran Chanayethazan, Mandalay, kata Kementerian Penerangan seperti dipetik Eleven Media Myanmar.

Menurut polis, kumpulan itu mengedar risalah di sepanjang Jalan 29, antara Persimpangan 84 dan 85, sekitar jam 6.15 pagi pada 3 Disember sambil melaungkan mesej yang didakwa bertujuan mengelirukan orang ramai mengenai pilihan raya.

Pasukan keselamatan kemudian mendakwa mereka di bawah Seksyen 23(b) kerana cuba menggagalkan pilihan raya umum 2025.

Pihak berkuasa turut melaporkan beberapa insiden serupa di wilayah lain.

Di Shwegu, negeri Kachin, tiga anggota bersenjata Kachin Independence Army (KIA) didakwa mengugut Pentadbir Ward U Tin Myaing pada 5 November supaya tidak terlibat dalam urusan pilihan raya, dan mereka didakwa pada 1 Disember di bawah Seksyen 24(a).

Di Hopin, empat lelaki bersenjata menculik seorang kerani kampung pada 27 November, merampas senarai pengundi, membakarnya di kawasan hutan, serta mengugut mangsa supaya tidak melakukan tugas-tugas pilihan raya; mereka didakwa pada 7 Disember di bawah Seksyen 24(b).

Di Yangon pula, seorang lelaki bernama Kyaw Min Oo ditahan di Utara Dagon selepas membuat siaran langsung di Facebook yang didakwa mengelirukan orang awam mengenai prosedur pilihan raya, dan didakwa pada 2 Disember di bawah Seksyen 23(a).

Di Htantabin, seorang penduduk, Than Kyine Soe, turut didakwa pada 5 Disember di bawah Seksyen 24(a) kerana merosakkan papan tanda kempen parti 88 Generation Student Youth.

Di Tarmwe, seorang wanita bernama Thandar Oo dituduh pada 30 November di bawah Seksyen 23(a) kerana berkongsi hantaran media sosial yang didakwa memutarbelitkan persepsi umum mengenai proses pilihan raya.

Sementara itu, menurut Kementerian Luar Negeri, warga Myanmar di Australia telah mula membuang undi awal bagi Pilihan Raya Umum Demokrasi Pelbagai Parti 2025.

Pusat pengundian awal dibuka di Kedutaan Myanmar di Canberra pada 5 dan 7 Disember dari jam 10 pagi hingga 5 petang, melibatkan rakyat Myanmar, kakitangan kedutaan dan keluarga mereka.

Warga Myanmar di Amerika Syarikat dan Arab Saudi turut membuang undi awal di pusat pengundian yang dibuka di kedutaan masing-masing.

Di Amerika Syarikat, pusat pengundian turut beroperasi di Konsulat Jeneral Myanmar di Los Angeles pada 6 dan 7 Disember, manakala Kedutaan Myanmar di Washington DC, mengadakan pengundian awal pada tarikh sama.

Di Arab Saudi, undi awal dijalankan pada 2 dan 3 Disember di Kedutaan Myanmar di Riyadh.