Bekas Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ketua Parti Pheu Thai pada Rabu, bagi membuka ruang kepada rombakan parti secara menyeluruh menjelang pilihan raya akan datang.
Dalam kenyataan rasmi, Paetongtarn yang masih mengetuai Pheu Thai Family berkata keputusan itu adalah langkah pertama ke arah pembaharuan strategik yang diumumkan awal bulan ini, dengan matlamat membentuk “parti baharu yang lengkap dan sempurna.”
“Hari ini saya mengambil keputusan untuk berundur sebagai ketua parti bagi memulakan rombakan Pheu Thai dengan visi baharu yang berani — demi perubahan sebenar untuk rakyat,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa keadaan global yang mencabar serta pilihan raya yang semakin hampir menuntut agar Pheu Thai melakukan penstrukturan semula sepenuhnya dari segi organisasi, proses dan pemikiran bagi memastikan kemenangan pilihan raya yang mampu “menghidupkan semula Thailand.”
Setiausaha Agung parti yang kini memangku tugas, Sorawong Thienthong, berkata keputusan Paetongtarn juga dibuat bagi melindungi calon dan ahli parlimen parti selepas keputusan Mahkamah Perlembagaan baru-baru ini yang menyingkirkan beliau daripada jawatan perdana menteri.
“Beliau tidak mahu keputusan itu dijadikan senjata politik untuk menekan ahli parti atau mencemarkan imej Pheu Thai. Paetongtarn tetap komited menyokong kepimpinan baharu,” katanya sambil memaklumkan bahawa parti itu akan mengadakan mesyuarat agung khas bagi memilih ketua baharu tidak lama lagi.

















