Empat lagi rakyat Malaysia disahkan ditahan oleh rejim Zionis Israel semalam, ketika menyertai misi kemanusiaan di atas kapal Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 yang dalam perjalanan menuju ke Gaza.
Perkembangan terbaharu ini menjadikan jumlah keseluruhan warga Malaysia yang kini berada dalam tahanan rejim tersebut meningkat kepada 29 orang.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Sumud Nusantara menerusi laman Instagram rasminya, kesemua individu terbabit disifatkan sebagai wira berani yang membawa mandat negara demi menyampaikan bantuan kritikal kepada rakyat Palestin yang sedang menderita.
Pihak penganjur menegaskan bahawa pelayaran tersebut adalah sah di bawah undang-undang antarabangsa dan tidak melanggar mana-mana kedaulatan wilayah.
Tindakan pematuhan ini bagaimanapun terus dicabuli oleh pihak Israel.
"Mereka merupakan 20 rakyat Malaysia yang berani dan dibanggakan kita kerana menjadi wakil di depan membela serta menjadi sebahagian daripada delegasi antarabangsa yang membawa bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin melalui laluan perairan antarabangsa yang disahkan oleh Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS). Kami menuntut pembebasan segera semua peserta yang ditahan," jelas kenyataan tersebut.
Selain mendesak pelepasan segera kesemua aktivis yang ditahan, Sumud Nusantara turut menggesa komuniti antarabangsa untuk tidak berdiam diri dan mengheret rejim Zionis ke muka pengadilan atas tindakan agresif mereka di perairan antarabangsa.















