ASIA
2 min membaca
Intel tambah pelaburan RM860 juta di Malaysia — PM Anwar
Menurut Perdana Menteri, pelaburan tambahan ini dibuat berdasarkan keyakinan Intel terhadap hala tuju jangka panjang negara, termasuk Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.
Intel tambah pelaburan RM860 juta di Malaysia — PM Anwar
Menurut Anwar, pelaburan tambahan itu dibuat berdasarkan keyakinan Intel terhadap hala tuju jangka panjang negara. / Foto: Pejabat Perdana Menteri / TRT Global
2 Disember 2025

Intel Corporation akan menambah pelaburan sebanyak RM860 juta di Malaysia, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan negara sebagai hab global pemasangan dan ujian semikonduktor berkualiti tinggi, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Petang tadi saya menerima kunjungan hormat Ketua Pegawai Eksekutif Intel Corporation, Lip-Bu Tan, seorang anak Malaysia yang telah mengharumkan nama negara dalam industri semikonduktor dan perisian di persada global,” kata Anwar dalam kenyataan di Facebook.

Beliau berkata pertemuan itu membincangkan perkembangan sektor semikonduktor serta usaha memperkukuh daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan berimpak tinggi.

Menurut Perdana Menteri, pelaburan tambahan ini dibuat berdasarkan keyakinan Intel terhadap hala tuju jangka panjang negara, termasuk Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.

“Intel turut merakamkan penghargaan atas sokongan berterusan kerajaan, khususnya terhadap pembangunan Kilang Pembungkusan Termaju di Pulau Pinang melibatkan perbelanjaan modal RM12 bilion yang kini 99% siap,” katanya.

Anwar turut mengalu-alukan kerjasama Intel dengan institusi pendidikan dan latihan melalui subjek elektif serta projek penyelidikan dan pembangunan.

Inisiatif itu menerima komitmen pembiayaan RM2.8 juta dalam tempoh dua tahun untuk memperkukuh ekosistem bakat tempatan.

Beliau berkata pelaburan tersebut mencerminkan keyakinan sebuah syarikat global terhadap Malaysia sebagai rakan kongsi utama dalam memacu inovasi dan meningkatkan daya saing negara di peringkat antarabangsa.

“Segala pelaburan ini mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemain penting dalam rantaian bekalan semikonduktor dunia,” katanya.

SUMBER:TRT Global