Singapura menahan remaja radikal, ‘bercita-cita’ bunuh umat Islam

Lee “mula membentuk kebencian terhadap umat Islam pada 2023” selepas terdedah kepada propaganda sayap kanan ekstrem terhadap umat Islam di media sosial, kata pegawai keselamatan.

Laporan kerajaan mengenai ancaman keganasan yang dikeluarkan pada Julai lalu menyatakan “radikalisasi dikalangan belia membimbangkan”. / Foto: AFP / AFP

Seorang remaja yang didakwa menggunakan permainan dalam talian yang ganas untuk berlatih menjalankan misi membunuh umat Islam, serupa dengan pembunuhan beramai-ramai di New Zealand pada 2019, telah ditahan di Singapura, menurut pihak berkuasa keselamatan.

Remaja yang dikenali sebagai Nick Lee, 18 tahun, didakwa merancang serangan yang meniru tindakan pengganas kulit putih Brenton Tarrant di New Zealand enam tahun lalu.

Tarrant mengamuk dan membunuh 51 jemaah di masjid sekitar Christchurch pada Mac 2019 dalam insiden tembakan beramai-ramai paling dahsyat dalam sejarah moden negara itu.

“Lee bercita-cita untuk melancarkan serangan terhadap umat Islam di Singapura bersama beberapa individu sayap kanan lain yang bersependapat dengannya di platform dalam talian,” kata Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Singapura (ISD).

Menurut Jabatan itu, “aspirasi serangannya termasuk melaksanakan serangan gaya Tarrant terhadap umat Islam di sebuah masjid di Singapura, menggunakan senjata buatan sendiri, pisau dan bom Molotov”, serta menyiarkan serangan itu secara langsung, seperti yang dilakukan Tarrant.

ISD berkata ia telah mengeluarkan perintah tahanan terhadap Lee pada Disember lalu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, yang membenarkan seseorang ditahan tanpa perbicaraan.

Lee didapati mencari video siaran langsung serangan Tarrant di New Zealand dan menontonnya berulang kali, tambah agensi itu.

“Dia mengidolakan Tarrant dan mula beraksi sebagai Tarrant dalam permainan simulasi dalam talian yang ganas,” katanya.

Lee turut memuat turun “modifikasi permainan video supaya dia boleh berpura-pura menjadi Tarrant yang membunuh umat Islam di Masjid Al-Noor di Christchurch”.

ISD menyatakan “idea serangan Lee masih bersifat aspirasi dan dia tidak mempunyai garis masa untuk melaksanakannya”. 

Siasatan ke atas rakan-rakan dalam taliannya “tidak menunjukkan sebarang ancaman yang akan berlaku ke atas Singapura”, kata agensi itu.

Laporan kerajaan mengenai ancaman keganasan yang dikeluarkan pada Julai lalu menyatakan “radikalisasi dikalangan belia membimbangkan”, dengan 13 daripada 52 kes individu yang “berfahaman radikal” dikenal pasti agensi keselamatan melibatkan mereka yang berumur 20 tahun ke bawah.

SUMBER: AFP