SNCC: Misi 30 kontena ke Gaza, GSF 2.0 tetap jadi keutamaan

Misi 30 Kontainer tersebut merupakan misi bantuan melalui jalan darat yang digerakkan oleh gabungan badan bukan kerajaan (NGO) dengan sokongan penuh kerajaan Malaysia, di mana Perdana Menteri Anwar Ibrahim bertindak sebagai penaung utama.

By
Misi ini juga merupakan salah satu daripada lima teras strategik di bawah penyelarasan SNCC. (FAIL) / AP

Sumud Nusantara Command Center (SNCC) tampil memberi penjelasan berhubung kekeliruan antara Misi Bantuan Kemanusiaan 30 Kontainer Malaysia ke Gaza dan Global Sumud Flotilla 2.0 (GSF 2.0), dengan menegaskan bahawa kedua-duanya merupakan inisiatif yang berbeza, lapor BERNAMA.

Misi 30 Kontainer tersebut merupakan misi bantuan melalui jalan darat yang digerakkan oleh gabungan badan bukan kerajaan (NGO) dengan sokongan penuh kerajaan Malaysia, di mana Perdana Menteri Anwar Ibrahim bertindak sebagai penaung utama.

Misi ini juga merupakan salah satu daripada lima teras strategik di bawah penyelarasan SNCC.

Pihak SNCC menjelaskan bahawa tiada barangan daripada 30 kontena tersebut akan dibawa melalui jalan laut.

Delegasi yang hadir semasa sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 6 April 2026 merupakan peserta bagi misi darat berkenaan, bukannya peserta GSF 2.0.

Sementara itu, GSF 2.0 merupakan misi pelayaran antarabangsa yang melibatkan hampir 100 buah kapal dalam usaha memecahkan sekatan laut di Gaza.

Misi ini menggabungkan tujuh inisiatif bersama, termasuk Sumud Nusantara, Freedom Flotilla Coalition, dan Global March to Gaza.

Dalam pada itu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari telah diamanahkan oleh Perdana Menteri untuk mengetuai Misi 30 Kontainer ke Mesir.

Kehadiran beliau di Barcelona pula adalah atas kapasiti wakil kerajaan Malaysia bagi menyaksikan pelepasan peserta negara untuk misi GSF 2.0.

SNCC menambah bahawa rancangan tarikh pelepasan yang berhampiran bagi kedua-dua misi ini adalah bertujuan untuk memberi tekanan strategik terhadap rejim Zionis.

Orang ramai digesa agar merujuk maklumat yang tepat bagi memastikan usaha kemanusiaan Malaysia terus mendapat sokongan padu masyarakat antarabangsa.