Syarikat penerbangan Malaysia mungkin perlu henti operasi tertentu jika kos terus meningkat - Loke
“Dalam jangka pendek, kita perlu memastikan perkhidmatan pengangkutan kargo udara bagi barangan seperti makanan dapat terus beroperasi walaupun keadaan semakin mencabar, terutamanya menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri," kata Loke.
Syarikat-syarikat penerbangan Malaysia mungkin perlu menghentikan operasi penerbangan tertentu jika kos bahan api terus meningkat, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Dalam kenyataan pada lewat Khamis, Loke berkata kementeriannya akan berbincang dengan pihak lapangan terbang dan pemegang taruh yang berkenaan untuk menyokong kelangsungan syarikat-syarikat penerbangan tempatan.
“Saya baru sahaja berjumpa dengan pihak pengurusan syarikat penerbangan, operator lapangan terbang, pembekal bahan api jet dan pihak berkuasa sektor udara untuk menyusun gerak kerja dalam menghadapi konflik antara Amerika Syarikat/Israel dan Iran yang telah menyebabkan harga bahan api dunia mencanak.
“Dalam jangka pendek, kita perlu memastikan perkhidmatan pengangkutan kargo udara bagi barangan seperti makanan dapat terus beroperasi walaupun keadaan semakin mencabar, terutamanya menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri.
“MOT juga mengambil maklum tentang cabaran yang dihadapi oleh syarikat-syarikat penerbangan. Memandangkan kos bahan api mencecah hampir separuh daripada kos operasi, syarikat-syarikat penerbangan mungkin perlu menghentikan operasi penerbangan tertentu jika kos bahan api terus meningkat,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Menurut Loke, syarikat-syarikat penerbangan dijangka akan berkongsi data dengan pihak berkuasa penerbangan tempatan agar penilaian risiko yang lebih menyeluruh dapat dilaksanakan.
Tambahnya, kesemua pihak telah bersetuju untuk bermesyuarat setiap minggu memandangkan krisis di Timur Tengah masih tidak menentu dan memerlukan tindakan pantas sekiranya ada perkembangan baharu.