China dijangka kekal rakan dagang terbesar Malaysia — duta

Pelaksanaan perjanjian pengecualian visa China–Malaysia telah menyumbang kepada peningkatan dalam pergerakan pelancong, dengan lebih empat juta warga China melawat Malaysia dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini.

By
(FAIL) China dijangka mengekalkan kedudukannya sebagai rakan dagang terbesar Malaysia untuk tahun ke-17 berturut-turut. / AFP

China dijangka mengekalkan kedudukannya sebagai rakan dagang terbesar Malaysia untuk tahun ke-17 berturut-turut, dengan pelaburan terkumpul di negara ini melebihi AS$20.8 bilion (RM84.71 bilion), kata Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing.

Beliau berkata, pelaksanaan perjanjian pengecualian visa China–Malaysia yang berkuat kuasa pada 17 Julai 2025 telah menyumbang kepada peningkatan ketara dalam pergerakan pelancong, dengan lebih empat juta warga China melawat Malaysia dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini.

Berucap pada taklimat “Pelan baharu, ufuk baharu: Taklimat Pelan Lima Tahun ke-15 China”, Ouyang menegaskan kepentingan penjajaran yang lebih baik antara Rancangan Malaysia Ke-13 dan Pelan Lima Tahun ke-15 China bagi memanfaatkan kekuatan kedua-dua negara, menurut laporan Bernama.

Menurutnya, kerjasama perlu diperkukuh dalam penyepaduan rantaian industri dan bekalan, selain meneruskan pelaksanaan berkualiti tinggi Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), dengan China bersedia berkongsi pengalaman dalam bidang kecerdasan buatan, kenderaan tenaga baharu, kedaulatan digital, komunikasi 5G dan teknologi hijau.

Ouyang turut menekankan kepentingan pelaksanaan berkualiti tinggi Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) serta usaha bersama bagi mempercepat penguatkuasaan Protokol Naik Taraf Kawasan Perdagangan Bebas China–ASEAN 3.0.

Beliau turut menegaskan China komited dengan perdagangan bebas dan penentangan terhadap unilateralisme serta protectionism (fahaman perlindungan).

Pada majlis yang sama, Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul berkata Pelan Tindakan ASEAN–China 2026–2030 akan menjadi asas kukuh dalam fasa kerjasama seterusnya, selari dengan aspirasi ASEAN 2045: Masa Depan Bersama

Beliau menggesa hubungan ekonomi, keterhubungan serantau dan pembangunan mampan diperkukuhkan, termasuk dalam tenaga boleh baharu dan teknologi hijau, selain pertukaran ilmu dalam pelbagai bidang.

Johari turut menegaskan pendekatan Malaysia yang menitikberatkan libat urus konstruktif bagi mengekalkan kestabilan dan kerjasama serantau.