Harga RON95 kekal RM1.99 di bawah inisiatif BUDI95

Anwar turut memberi jaminan berdasarkan data PETRONAS bahawa Malaysia mempunyai bekalan petroleum yang mencukupi bagi berdepan kesan konflik tersebut sehingga Mei depan.

By
Anwar berkata harga petrol RON95 di bawah mekanisme subsidi bersasar BUDI95 dikekalkan pada paras RM1.99 seliter. (FAIL) / Other

Kerajaan memutuskan harga petrol RON95 di bawah mekanisme subsidi bersasar BUDI95 dikekalkan pada paras RM1.99 seliter.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata langkah itu diambil bagi melindungi rakyat daripada impak kenaikan harga bahan api global ekoran konflik yang sedang memuncak di Timur Tengah.

Beliau menegaskan meskipun harga pasaran jauh lebih tinggi, keputusan sukar itu terpaksa dibuat demi kebajikan orang ramai.

"Saya telah mengarahkan Kabinet untuk mengekalkan harga BUDI95. Walaupun harga Brent sempat melonjak sehingga US$119 (kira-kira RM528.36) setong pada 9 Mac lalu, kita tetap komited mengekalkannya pada RM1.99," jelas beliau dalam sidang media khas di Pejabat Perdana Menteri.

Anwar turut memberi jaminan berdasarkan data PETRONAS bahawa Malaysia mempunyai bekalan petroleum yang mencukupi bagi berdepan kesan konflik tersebut sehingga Mei depan.

Menurutnya, situasi Malaysia jauh lebih baik berbanding negara jiran yang terpaksa berdepan dengan harga pasaran sehingga tiga kali ganda lebih tinggi daripada harga domestik.

Dalam pada itu, kerajaan turut mengambil langkah proaktif dengan melantik Timbalan Perdana Menteri II Fadillah Yusof untuk menerajui jawatankuasa khas bagi menangani isu penyeludupan diesel di Sabah dan Sarawak.

Pemantauan rapi akan dilakukan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan atas situasi semasa.

Bagi memantau impak ekonomi secara harian, satu jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Menteri Kewangan IIAmir Hamzah Azizan telah ditubuhkan.

“Jawatankuasa itu akan meneliti kesan krisis di Timur Tengah terhadap kedudukan fiskal negara dan melaporkan perkembangan tersebut terus kepada kepimpinan tertinggi kerajaan,” katanya.

Satu mesyuarat khas Kabinet dijadualkan berlangsung hari ini bagi membincangkan perkembangan antarabangsa yang berubah dengan pantas serta kedudukan kewangan negara.

Anwar juga menzahirkan keyakinan bahawa dengan kerjasama antara sektor awam dan swasta, Malaysia mampu menangani krisis tersebut dengan bijaksana dan berkesan.