ASIA
2 min membaca
PM mahu bincang isu kejatuhan harga durian semasa lawatan ke Beijing bulan depan
Perdana Menteri berkata rundingan tersebut bertujuan untuk mencari jalan memperluas akses pasaran eksport durian Malaysia ke China, sekali gus merangsang permintaan dan menstabilkan semula harga pasaran domestik.
PM mahu bincang isu kejatuhan harga durian semasa lawatan ke Beijing bulan depan
(FAIL) Malaysia mahu membincangkan isu kejatuhan harga durian semasa rundingan di Beijing bulan depan. / AP

Isu kejatuhan harga durian yang sedang dihadapi pekebun tempatan akan dibawa semasa rundingan di Beijing bulan depan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Menurut laporan BERNAMA, Anwar berkata beliau akan bertemu Perdana Menteri China Li Qiang dalam lawatan rasmi pada Ogos.

Perdana Menteri berkata rundingan tersebut bertujuan untuk mencari jalan memperluas akses pasaran eksport durian Malaysia ke China, sekali gus merangsang permintaan dan menstabilkan semula harga pasaran domestik yang kini menjejaskan pendapatan para pekebun.

"Baik, saya janji satu perkara... Li Qiang itu Perdana Menteri (China) kawan baik (saya)... saya akan ke China bulan depan dan saya mahu bawa durian sebab saya tengok harga jatuh. China punya standard tinggi, tinggi sangat tapi saya (akan cuba) runding," katanya.

Anwar menegaskan bahawa hubungan diplomatik yang akrab antara Malaysia dan China harus dimanfaatkan sepenuhnya demi membuka lebih banyak peluang dagangan.

Hal ini penting bagi memberikan kebaikan serta perlindungan ekonomi kepada pengusaha dan pekebun kecil tempatan, khususnya ketika berdepan dengan situasi lambakan hasil bermusim.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menyentuh mengenai komitmen kerajaan mengekalkan harga bahan api pada kadar rendah untuk rakyat melalui langkah intervensi bersasar, walaupun harga minyak dunia ketika ini berdepan tekanan hebat susulan ketidaktentuan geopolitik dan konflik di Asia Barat.

"Tak ada negara di dunia harga minyak turun macam Malaysia... Malaysia satu-satunya negara harga minyak paling rendah di dunia... bukan senang (nak turunkan harga bahan api)... kita (Kabinet) bincang sebab saya tak sampai hati. Kalau ikut ekonomi, ikut hukum ataupun dasar, dasar ekonomi, harga minyak mesti naik tetapi rakyat bagaimana?" ujarnya selaku Menteri Kewangan.

Untuk rekod, kadar harga runcit semasa bagi RON97 ditetapkan pada RM3.37 seliter manakala diesel komersial pada RM3.97 seliter.

Bagaimanapun, melalui pelaksanaan inisiatif BUDI MADANI, rakyat Malaysia terus dilindungi dan menikmati kadar subsidi yang jauh lebih rendah iaitu RM1.99 seliter bagi RON95 dan RM2.10 seliter bagi diesel.