16 kapal tangki tiba di Pelabuhan Thilawa, bekalan bahan api Myanmar dijangka stabil

Menurut Kementerian tersebut, Myanmar tidak mengimport bahan api dari Thailand, tetapi sebaliknya bergantung sepenuhnya kepada import melalui laluan laut dari Singapura dan Malaysia.

By
Krisis di Timur Tengah memberi tekanan hebat kepada negara-negara Asia Tenggara yang bergantung kepada produk petroleum dari rantau itu. (FAIL) / Reuters

Kementerian Tenaga Myanmar mengumumkan langkah memperkukuh bekalan bahan api negara itu dengan ketibaan 16 kapal tangki di Pelabuhan Thilawa, menurut laporan Eleven Media.

Dalam kenyataan rasmi pada 4 Mac, kementerian itu mendedahkan dua kapal kini sedang memunggah muatan, enam dalam perjalanan, manakala lapan lagi sedang menunggu giliran untuk pengisian bagi memastikan kelangsungan stok domestik.

Langkah itu diambil susulan konflik ketenteraan yang semakin meruncing di Timur Tengah yang telah menjejaskan laluan bekalan global.

Krisis tersebut memberi tekanan hebat kepada negara-negara Asia Tenggara yang bergantung kepada produk petroleum dari rantau berkenaan.

Walau bagaimanapun, Myanmar menegaskan strategi kerjasama antarabangsa sedang dipergiat bagi meminimumkan impak krisis tersebut terhadap ekonomi rakyat.

Menurut Kementerian tersebut, Myanmar tidak mengimport bahan api dari Thailand, tetapi sebaliknya bergantung sepenuhnya kepada import melalui laluan laut dari Singapura dan Malaysia.

Pihak berkuasa telah menetapkan prosedur ketat bagi memastikan tiada gangguan dalam rantaian bekalan, sekali gus mengekalkan kestabilan di seluruh pelosok negara.

Setakat ini, simpanan bahan api Myanmar dilaporkan mencukupi untuk tempoh kira-kira 40 hari.

Bekalan yang dibawa masuk melalui Pelabuhan Thilawa kini sedang diagihkan secara berperingkat menggunakan lori tangki ke seluruh wilayah.

Usaha ini bertujuan untuk mengelakkan sebarang lompang dalam pasaran tempatan yang boleh menjejaskan sektor pengangkutan dan industri.

Sehubungan itu, Kementerian Tenaga menggesa orang ramai agar tidak panik atau terpedaya dengan khabar angin mengenai kekurangan bekalan.

Pengguna dinasihatkan supaya hanya merujuk kepada laporan rasmi kerajaan dan tidak melakukan pembelian cemas atau menyimpan stok bahan api secara berlebihan yang boleh mencetuskan ketidaktentuan pasaran.

Pihak kementerian memberi jaminan bahawa pemantauan rapi akan terus dilakukan bagi memastikan setiap stesen minyak menerima bekalan yang mencukupi.