Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata beliau akan membuat lawatan ke Malaysia, Jepun dan Korea Selatan dalam masa terdekat, sambil menyatakan keinginannya “untuk terus berhubung baik dengan China”, lapor Kyodo News.
Walaupun ketegangan perdagangan antara Washington dan Beijing kembali meningkat, Trump tetap optimis menjelang pertemuan yang dijangka berlangsung minggu depan dengan Presiden China Xi Jinping di Korea Selatan.
“Kita akan dapatkan perjanjian yang adil. Saya mahu berbaik dengan China. Saya amat menghormati Presiden Xi,” katanya di Rumah Putih ketika menjawab pertanyaan media selepas bertemu Perdana Menteri Australia Anthony Albanese.
Trump berkata pertemuan itu akan diadakan di Korea Selatan dan turut mengesahkan bahawa beliau akan melawat Malaysia serta Jepun sempena beberapa acara serantau yang dijadualkan hujung bulan ini.
Sumber kerajaan Jepun memaklumkan bahawa Trump dijangka menghadiri sidang kemuncak ASEAN di Malaysia sebelum meneruskan lawatan tiga hari ke Jepun bermula 27 Oktober, disusuli dengan kunjungan ke Korea Selatan.
Lawatan ini merupakan yang pertama oleh Trump ke rantau Asia sejak beliau kembali memegang jawatan presiden bagi penggal kedua pada Januari lalu.

















