Seorang pelajar berusia 16 tahun yang disyaki menyerang seorang guru di Tunku Putra-HELP International School (TPH) di Kuching pada Selasa dipercayai menyiarkan kejadian itu secara langsung menerusi media sosial, menurut polis.
Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, Saifullizan Ishak, berkata rakaman berdurasi 12 minit enam saat itu memaparkan kejadian serangan berkenaan dari sudut pandang pelajar terbabit, lapor Sinar Harian.
Beliau berkata video itu telah dipadamkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Menurut Saifullizan, polis sedang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya, serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Letupan 1957.
Pelajar berkenaan telah ditahan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
Dalam satu kenyataan, pihak sekolah memaklumkan bahawa guru berkenaan berada dalam keadaan stabil selepas kejadian itu.
Pelajar lain di dalam kelas yang terjejas berjaya dipindahkan ke tempat selamat, manakala tiada individu lain dilaporkan cedera.
Pihak sekolah turut mengumumkan penutupan awal sebagai langkah berjaga-jaga atas nasihat polis dan memaklumkan ibu bapa supaya mengambil anak masing-masing.
Sekolah itu berkata guru berkenaan sedang pulih dengan baik tanpa mengalami kecederaan kritikal, selain memuji keberanian dan ketenangannya ketika menghadapi insiden itu.
Pelajar yang disyaki terbabit juga bukan lagi pelajar aktif di TPH.

























