Malaysia teliti langkah susulan keputusan mahkamah AS batalkan tarif Trump
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata MITI sedang menyelaras perbincangan dengan pihak Washington serta rakan serantau di ASEAN bagi menentukan langkah seterusnya.
Kerajaan Malaysia sedang menilai implikasi keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat yang membatalkan tarif yang diperkenalkan Presiden Donald Trump, dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) kini meneliti perkara itu secara terperinci.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata MITI sedang menyelaras perbincangan dengan pihak Washington serta rakan serantau di ASEAN bagi menentukan langkah seterusnya, menurut laporan The Star.
“Berhubung tarif itu, Johari Ghani telah memberi penjelasan dan kita akan menerima taklimat terperinci sebelum mengeluarkan respons rasmi,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta pelancaran program Rakan Masjid x Rakan Muda Ramadan semalam.
Beliau menambah perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet Jumaat ini.
Pada 20 Feb, Mahkamah Agung AS dalam keputusan 6-3 memutuskan Trump telah melampaui kuasa di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa 1977 (IEEPA) ketika mengenakan tarif berkenaan.
Susulan keputusan itu, Trump mengumumkan beliau akan mengenakan tarif seragam 10 peratus ke atas semua import di bawah peruntukan undang-undang berasingan, sebelum keesokannya menyatakan kadar itu akan dinaikkan kepada 15 peratus.
Malaysia dan AS sebelum ini menandatangani perjanjian perdagangan timbal balik ketika lawatan Trump ke Kuala Lumpur sempena Sidang Kemuncak ASEAN pada Oktober lalu, mengekalkan tarif pada kadar 19 peratus dengan beberapa produk layak menikmati tarif sifar di bawah senarai yang dipersetujui.
Namun, perubahan kadar tarif global AS yang kerap tealh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengeksport tempatan.
Presiden Persatuan Perabot Muar (MFA), Steve Ong berkata kenyataan bercanggah daripada pelbagai agensi kerajaan AS menyebabkan pihak pengeluar sukar membuat perancangan.
Eksport perabot kayu Malaysia mencecah RM9.9 bilion pada 2024, dengan 57.8 peratus atau RM5.71 bilion disumbangkan oleh pasaran AS, menurut Majlis Kayu-kayan Malaysia.
“Kami menunggu pengesahan jelas dan notis rasmi daripada pelanggan di AS sebelum menentukan tindakan seterusnya,” katanya.
Presiden Persatuan Elektrik dan Elektronik Malaysia Albert Tan berkata gelombang tarif baharu memburukkan lagi ketidaktentuan sedia ada, manakala Presiden Kebangsaan Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia Dr Chin Chee Seong menyifatkan banyak syarikat kini berada dalam keadaan tertanya-tanya dan menunggu panduan rasmi daripada MITI.
Beliau berkata pengukuhan ringgit dan tarif terdahulu telah pun memberi tekanan besar kepada pengeluar tempatan yang bergantung kepada pasaran AS.