Beberapa kanak-kanak adalah antara ratusan tahanan di pusat tahanan rahsia di Bangladesh, menurut sebuah suruhanjaya yang menyiasat kes kehilangan yang berlaku semasa pemerintahan bekas perdana menteri Sheikh Hasina yang kini digulingkan.
Menurut laporan Suruhanjaya Siasatan Kehilangan Paksa sekurang-kurangnya setengah dozen kanak-kanak meringkuk berbulan-bulan di penjara rahsia bersama ibu mereka. Laporan tersebut juga menyatakan bahawa bayi juga digunakan sebagai alat semasa soal siasat, termasuk tidak memberi mereka susu.
Dhaka telah mengeluarkan waran tangkap termasuk tuduhan jenayah terhadap kemanusiaan terhadap Hasina yang berusia 77 tahun, yang telah melarikan diri ke sekutu lama India pada Ogos 2024 selepas dia digulingkan oleh revolusi yang dipimpin oleh para pelajar.
Kerajaan Hasina dituduh melakukan pelanggaran hak asasi manusia secara meluas, termasuk pembunuhan di luar proses undang-undang terhadap ratusan penentang politik dan penculikan serta kehilangan secara tidak sah terhadap ratusan lagi.
Suruhanjaya menyatakan ia telah memperincikan beberapa kes sejak 2023 di mana kaum wanita lesap bersama dengan anak-anak mereka.
Ia termasuk kes di mana seorang wanita hamil yang ditahan bersama dua anak kecilnya dipukul di pusat tahanan.
"Ini bukan kes terpencil," laporan itu menyatakan.
'Tidak kembali'
Suruhanjaya itu berkata seorang saksi menunjukkan kepada penyiasat bilik di tapak tahanan di mana dia ditahan sebagai kanak-kanak bersama ibunya, yang dikendalikan oleh paramiliter yang digeruni, Rapid Action Battalion (RAB). "Ibunya tidak kembali," menurut laporan.
Dalam insiden lain, sepasang suami isteri dan bayi mereka ditahan, dengan anak itu ditahan dari minum susu ibu "sebagai bentuk penyeksaan psikologi" untuk memberi tekanan kepada bapa.
Sewaktu berkuasa, kerajaan Hasina nafi melakukan penghilangan paksa, mendakwa beberapa orang yang dilaporkan hilang telah lemas di Laut Mediterranean semasa cuba mencapai Eropah.
Suruhanjaya itu berkata sekitar 200 rakyat Bangladesh yang diculik oleh pasukan keselamatan masih hilang.
Ahli jawatankuasa Sazzad Hossain berkata bahawa walaupun beberapa mangsa tidak dapat mengenal pasti pegawai yang menyeksa mereka, keterangan mereka akan digunakan untuk mengenal pasti pasukan yang terlibat.
"Dalam kes-kes seperti ini, kami akan mengesyorkan agar komander dipertanggungjawabkan," kata Hossain.
"Kesannya terhadap keluarga mangsa adalah pelbagai, dari trauma psikologi yang teruk hingga cabaran undang-undang dan kewangan," tambah laporan itu.


















