Malaysia sambut baik pelan damai 10 perkara Iran-AS, gesa resolusi berkekalan di Asia Barat
Kata Perdana Menteri, pelan tersebut perlu diterjemahkan kepada perjanjian damai komprehensif yang bukan sahaja merangkumi Iran, tetapi juga melibatkan Iraq, Lubnan, serta Yaman demi kesejahteraan sejagat.
Kerajaan Malaysia menzahirkan sokongan penuh terhadap pelan perdamaian 10 perkara yang dicadangkan oleh Iran dan diterima baik oleh Amerika Syarikat (AS).
Perkembangan itu disifatkan sebagai langkah signifikan dalam meredakan ketegangan serta memulihkan kestabilan di rantau Asia Barat yang kini berdepan konflik berdarah.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini menyatakan harapan agar proses rundingan dilakukan dengan niat suci tanpa sebarang unsur penipuan.
Beliau menegaskan bahawa pelan tersebut perlu diterjemahkan kepada perjanjian damai komprehensif yang bukan sahaja merangkumi Iran, tetapi juga melibatkan Iraq, Lubnan, serta Yaman demi kesejahteraan sejagat.
Tegas beliau lagi, sebarang usaha perdamaian mestilah menjamin pengakhiran kepada krisis kemanusiaan dan genosid yang menimpa rakyat Palestin, khususnya di Gaza.
Malaysia turut menggesa komuniti antarabangsa supaya memastikan akses bantuan kemanusiaan tanpa sekatan diberikan kepada semua penduduk awam yang terjejas akibat peperangan tersebut.
Dalam pada itu, Anwar turut merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kepada Pakistan dan Perdana Menteri Shehbaz Sharif atas diplomasi berani yang menjadi jambatan kepada persetujuan ini.
Menurut beliau, kesediaan Pakistan untuk berunding dengan semua pihak mencerminkan tradisi tinggi solidariti umat Islam dan tanggungjawab antarabangsa yang perlu dicontohi.
Sementara itu, Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) dalam kenyataan berasingan menggesa semua pihak yang terlibat untuk menghormati sepenuhnya terma gencatan senjata tersebut.
Wisma Putra memberi amaran agar sebarang tindakan provokatif atau langkah unilateral dielakkan bagi mencegah gangguan terhadap kestabilan ekonomi dan bekalan tenaga global.
“Kejayaan ini membuktikan bahawa diplomasi kekal sebagai satu-satunya jalan yang berdaya maju dalam menyelesaikan konflik berpanjangan serta dalam memastikan keselamatan serantau dalam jangka panjang. Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa untuk menyokong usaha-usaha keamanan ini serta menyumbang ke arah penyelesaian yang adil dan berkekalan, demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan semua rakyat di rantau tersebut,” kata Wisma Putra.