ASIA
2 min membaca
Menteri Luar ASEAN mahu bincang 'langkah seterusnya' tangani isu Myanmar
Perkembangan terbaharu ini menyusul selepas pertemuan bersemuka yang pertama kali diadakan antara menteri-menteri luar ASEAN dan rakan sejawat mereka dari Myanmar di Thailand pada Ahad lalu, sejak krisis tersebut meletus pada tahun 2021.
Menteri Luar ASEAN mahu bincang 'langkah seterusnya' tangani isu Myanmar
(FAIL) Sejak 2021, kehadiran Myanmar dalam mesyuarat utama ASEAN dan menteri-menteri luar dihadkan kepada wakil bukan politik sahaja. / AP

Menteri-Menteri Luar ASEAN dijangka bertemu minggu depan di Manila, Filipina, bagi membincangkan "langkah seterusnya" dalam menangani kemelut politik yang melanda Myanmar, lapor Philippine News Agency.

Filipina, selaku Pengerusi ASEAN, menyuarakan kesediannya untuk menganjurkan rundingan tidak rasmi mengenai pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC).

Perkembangan terbaharu ini menyusul selepas pertemuan bersemuka yang pertama kali diadakan antara menteri-menteri luar ASEAN dan rakan sejawat mereka dari Myanmar di Thailand pada Ahad lalu, sejak krisis tersebut meletus pada tahun 2021.

Bagaimanapun, Myanmar dilaporkan hanya akan diwakili oleh setiausaha tetapnya dan tidak akan menyertai rundingan tidak rasmi berkenaan.

Jurucakap Hal Ehwal Luar bagi Hal Ehwal ASEAN, Dax Imperial, menegaskan kepentingan pertemuan di Manila itu dalam merangka hala tuju blok serantau tersebut.

Beliau berkata hasil perbincangan di Thailand baru-baru ini akan menjadi input penting bagi rundingan menteri luar minggu hadapan.

"Ia merupakan satu mesyuarat yang amat penting minggu depan, terutamanya dengan adanya mesyuarat yang baru sahaja selesai di Thailand. Apa yang kita harapkan ialah garis panduan mengenai langkah seterusnya dan hala tuju masa depan selepas penglibatan ini," ujar Imperial dalam satu sidang media di Manila.

Sebelum ini, Thailand selaku salah satu negara anggota menyatakan kesediaan untuk melaksanakan dasar "calibrated re-engagement”.

Langkah ini bertujuan menyokong perpaduan semula antara Myanmar dan ASEAN secara berperingkat, di samping terus mendesak kemajuan dalam pelaksanaan Konsensus Lima Perkara.

Sejak 2021, kehadiran Myanmar dalam mesyuarat utama ASEAN dan menteri-menteri luar dihadkan kepada wakil bukan politik sahaja.

Dalam pertemuan di Thailand, menteri-menteri luar ASEAN sekali lagi menegaskan bahawa formula 5PC kekal menjadi "rujukan utama" rakan serantau dalam mencari jalan penyelesaian terbaik untuk Myanmar.