Malaysia diminta jadi orang tengah wakil negara Teluk dan Iran

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa beberapa pemimpin Arab telah menghubungi beliau bagi memohon bantuan untuk menyampaikan pandangan mereka kepada kepimpinan Iran dalam usaha mencari jalan damai.

By
Ketegangan terus memuncak di Timur Tengah susulan serangan AS-Israel di Iran dan negara-negara lain di rantau itu. (FAIL) / AP

Malaysia kini memainkan peranan sebagai orang tengah antara beberapa buah negara Teluk dan Iran bagi meredakan ketegangan yang semakin memuncak di Timur Tengah, menurut laporan The Star.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa beberapa pemimpin Arab telah menghubungi beliau bagi memohon bantuan untuk menyampaikan pandangan mereka kepada kepimpinan Iran dalam usaha mencari jalan damai.

“Dalam beberapa panggilan telefon dengan pemimpin Arab, mereka meminta saya menyampaikan mesej kepada Presiden Iran kerana mereka tahu hubungan Malaysia dengan Iran adalah baik. Kita menggunakan pendekatan positif, kita sampaikan rasa simpati dan kebimbangan negara-negara Arab ini kepada Iran supaya ketegangan tidak berlarutan,” kata beliau semasa berucap merasmikan Program Madani Rakyat di Ipoh pada Sabtu.

Anwar turut menegaskan bahawa sebagai sebuah negara yang berdaulat, Malaysia merupakan antara segelintir negara yang berani menyuarakan bantahan terhadap serangan yang dilancarkan oleh Israel dan Amerika Syarikat ke atas Iran.

Ketegasan ini, menurut beliau, berakar umbi daripada dasar luar negara yang bebas dan tidak terikat dengan telunjuk mana-mana kuasa besar dunia.

“Sebagai sebuah negara yang bebas, merdeka dan berdaulat, kita tidak terikat atau tunduk kepada mana-mana kuasa asing. Inilah sebabnya saya membawa usul di Dewan Rakyat untuk menyatakan dengan tegas bantahan kita terhadap serangan Israel dan AS ke atas Iran serta mempertahankan kemerdekaan mereka,” jelas beliau.

Selain penglibatan dengan negara Teluk, Anwar berkata Malaysia juga telah mengadakan perbincangan dengan negara-negara lain seperti Türkiye, Mesir dan Azerbaijan bagi mencari jalan penyelesaian yang terbaik untuk mengelakkan konflik daripada terus meruncing.

Kerjasama pelbagai hala ini, katanya, dilihat penting bagi memastikan kestabilan rantau berkenaan dapat dipulihkan segera.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi berita positif mengenai usaha bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Menurut Anwar, Presiden Mesir Abdel Fattah el-Sisi telah memberikan jaminan untuk membantu Malaysia menghantar bantuan melalui pintu sempadan Rafah, sekali gus memastikan sokongan berterusan kepada rakyat Palestin yang sedang menderita akibat serangan berterusan.