IMF naikkan unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia kepada 4.3% bagi 2026 dan 2027
IMF sebelum ini mengunjurkan pertumbuhan KDNK Malaysia pada 4.5 peratus bagi 2025 dan 4.0 peratus pada 2026, sekali gus menunjukkan keyakinan tinggi terhadap momentum ekonomi negara dalam tempoh dua tahun akan datang.
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menaikkan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebenar Malaysia kepada 4.3 peratus bagi tahun 2026 dan 2027, iaitu peningkatan 0.3 mata peratusan berbanding anggaran sebelum ini, lapor Bernama.
Menurut kemas kini Laporan Tinjauan Ekonomi Dunia (WEO) Januari 2026 bertajuk Global Economy: Steady amid Divergent Forces, IMF menganggarkan pertumbuhan KDNK Malaysia pada 4.6 peratus pada 2025, berbanding 5.1 peratus pada 2024.
IMF sebelum ini mengunjurkan pertumbuhan KDNK Malaysia pada 4.5 peratus bagi 2025 dan 4.0 peratus pada 2026, sekali gus menunjukkan keyakinan tinggi terhadap momentum ekonomi negara dalam tempoh dua tahun akan datang.
Laporan itu menyatakan pertumbuhan global dijangka kekal berdaya tahan pada 3.3 peratus pada 2026 dan 3.2 peratus pada 2027, hampir menyamai anggaran 3.3 peratus bagi 2025, disokong oleh pelaburan berkaitan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), khususnya di Amerika Utara dan Asia.
IMF menjelaskan prestasi global yang stabil itu terhasil daripada imbangan antara tekanan dasar perdagangan dan dorongan pelaburan teknologi, selain sokongan fiskal dan monetari, keadaan kewangan yang longgar serta keupayaan sektor swasta menyesuaikan diri dengan perubahan persekitaran ekonomi.
Dari segi inflasi, IMF menjangkakan kadar inflasi global menurun daripada 4.1 peratus pada 2025 kepada 3.8 peratus pada 2026 dan 3.4 peratus pada 2027, dengan risiko terhadap unjuran ekonomi global masih cenderung ke bawah susulan ketidaktentuan perdagangan dan potensi pembetulan pasaran kewangan berkaitan AI.
Bagaimanapun, IMF berkata pertumbuhan boleh dipacu lebih kukuh sekiranya pelaburan berkaitan AI diterjemahkan kepada peningkatan produktiviti yang mampan, selain pengurangan ketegangan perdagangan serta pelaksanaan pembaharuan struktur bagi menyokong kestabilan dan pertumbuhan jangka sederhana.