ASIA
2 min membaca
Bangladesh dapatkan bekalan diesel dari Malaysia, Singapura, India susulan konflik Timur Tengah
Selain Malaysia dan Singapura yang menjadi sumber utama, Bangladesh kini mempelbagaikan punca import termasuk dari China dan Indonesia bagi mengimbangi gangguan bekalan dari Qatar.
Bangladesh dapatkan bekalan diesel dari Malaysia, Singapura, India susulan konflik Timur Tengah
Bangladesh telah berjaya mendapatkan import diesel dari beberapa negara termasuk Malaysia, Singapura, dan India. (FAIL) / Reuters
sejam yang lepas

Bangladesh telah berjaya mendapatkan import diesel dari beberapa negara termasuk Malaysia, Singapura, dan India bagi menangani penyusutan bekalan tenaga ekoran konflik yang sedang memuncak di Timur Tengah.

India telah mula menyalurkan kira-kira 10,000 tan metrik diesel melalui Saluran Paip Persahabatan Bangladesh-India (BIFP) bagi memastikan stok bahan api negara itu mencukupi untuk bulan Mac.

Menurut pegawai kanan Bahagian Tenaga dan Sumber Mineral Bangladesh Monir Hossain Chowdhury stok bagi bulan ini adalah memadai, namun pihaknya kini sedang berusaha mendapatkan rizab tambahan untuk April.

New Delhi dijadualkan membekalkan sebanyak 180,000 tan diesel tahun ini melalui BIFP, yang dibina khusus untuk mengurangkan kos pengangkutan bahan api bagi negara dengan 175 juta penduduk itu.

Selain Malaysia dan Singapura yang menjadi sumber utama, Bangladesh kini mempelbagaikan punca import termasuk dari China dan Indonesia bagi mengimbangi gangguan bekalan dari Qatar.

Pengerusi Petrobangla Md. Arfanul Hoque mendedahkan bahawa beberapa kapal pengangkut gas kini terkandas akibat krisis di Timur Tengah, sekali gus memaksa Dhaka mencari alternatif baru di pasaran global.

Menteri Kuasa, Tenaga dan Sumber Mineral, Anindya Islam, turut menyatakan bahawa proses mengimport 120,000 tan minyak dari Brunei sedang dimulakan, selain mempertimbangkan bekalan dari Amerika Syarikat.

Langkah kepelbagaian ini kritikal memandangkan harga minyak mentah Brent melonjak tinggi, selain penutupan Selat Hormuz oleh Iran yang menjejaskan hampir 20% perdagangan gas asli cecair (LNG) dunia.

Susulan krisis bekalan ini, pihak berkuasa Bangladesh telah mengarahkan penutupan sekolah di seluruh negara dan melaksanakan catuan bahan api bagi menjimatkan sumber.

Barisan panjang di stesen minyak mula kelihatan selepas serangan bersama AS-Israel ke atas Iran pada 28 Februari lalu mencetuskan serangan balas dron dan peluru berpandu yang melumpuhkan laluan perdagangan maritim utama.

Kos import bahan api dijangka memberi tekanan besar kepada ekonomi Bangladesh.

Sebagai perbandingan, kos bagi 180,000 tan diesel pada harga pasaran semasa boleh mencecah ratusan juta dolar, atau kira-kira RM1.2 bilion hingga RM1.5 bilion, bergantung kepada turun naik harga global.

Kerajaan Bangladesh menyatakan harapan agar ketegangan perang akan reda dengan segera bagi memulihkan semula kestabilan harga dan bekalan tenaga di rantau tersebut.

SUMBER:AA