Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT) menjangkakan daerah Hat Yai di wilayah Songkhla memerlukan sekurang-kurangnya sebulan untuk pulih sepenuhnya susulan banjir teruk yang melanda sembilan wilayah di selatan negara itu, sekali gus menjejaskan ketibaan pelancong, khususnya dari Malaysia, lapor The Nation.
Gabenor TAT, Thapanee Kiatphaibool berkata, banjir telah menyebabkan kerosakan besar ke atas kediaman, hotel dan perniagaan, dengan Persatuan Hotel Hat Yai menganggarkan kira-kira 95% hotel terjejas teruk dan memerlukan kerja pembaikan serta pemulihan bandar dalam tempoh sekurang-kurangnya sebulan.
Di lapan wilayah selatan lain, impak dinilai rendah hingga sederhana dan kebanyakan aktiviti pelancongan telah kembali beroperasi.
Bagi Disember 2025, TAT menyemak semula unjuran pelancongan domestik dengan lawatan ke Songkhla dianggarkan sekitar 244,300 perjalanan, susut 21.89% tahun ke tahun, manakala hasil pelancongan dijangka merosot 23.57% kepada THB1.92 bilion.
Di seluruh selatan Thailand, perjalanan domestik diunjurkan menurun 5.37% kepada 1.73 juta, dengan hasil THB17.19 bilion, turun 7.14%.
Menurut Thapanee, pasaran domestik turut terjejas akibat beberapa faktor utama termasuk persepsi keselamatan di Hat Yai susulan tular insiden ancaman terhadap petugas penyelamat dan kecurian, pemindahan acara Sukan SEA 2025 dari Songkhla ke Bangkok, serta kebimbangan mengenai tahap kesihatan selepas banjir seperti risiko penyakit dan pencemaran habuk PM10.
Dari segi pelancongan antarabangsa, seramai 2.73 juta pelawat asing direkodkan memasuki Thailand antara 1 hingga 30 November 2025, susut 7% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Pasaran Malaysia paling terjejas, dengan TAT menganggarkan hanya sekitar 205,000 pelawat Malaysia hadir pada Disember 2025, merosot 55% tahun ke tahun, menjana kira-kira THB4.44 bilion hasil, turun 54%.
Untuk keseluruhan 2025, ketibaan pelancong Malaysia diunjurkan sekitar 4.38 juta, susut 11% berbanding 2024, manakala Thailand secara keseluruhan dijangka menerima 32.83 juta pelawat asing, turun 8%, dengan hasil pelancongan dianggarkan THB1.52 trilion.
TAT memberi amaran bahawa banjir di selatan akan terus menekan sektor pelancongan sepanjang Disember, dengan pengusaha terjejas memerlukan satu hingga dua bulan untuk pulih sepenuhnya.














