Tentera Thai dakwa dron Kemboja masih ceroboh ruang udara
Winthai turut mendakwa Kemboja sedang berusaha menjejaskan imej Thailand dengan menyebarkan dakwaan palsu, termasuk tuduhan bahawa tentera Thailand merosakkan tapak Warisan Dunia Preah Vihear.
Tentera Diraja Thailand (RTA) mendakwa dron dari Kemboja masih dikesan memasuki ruang udara Thai walaupun gencata senjata sedang berkuatkuasa dan keadaan di sempadan kedua-dua negara kekal terkawal, menurut laporan The Nation.
Pada masa sama, RTA turut mendakwa Kemboja telah menyebarkan maklumat tidak tepat di pentas antarabangsa.
Jurucakap RTA Mejar Jeneral Winthai Suvaree berkata walaupun tiada serangan berlaku, pihak tentera tetap meningkatkan tahap kesiapsiagaannya dengan memperkukuh pos sempadan, selain membina jalan raya bagi meningkatkan keselamatan anggota serta penduduk setempat.
Menurut beliau, dron dari pihak Kemboja masih sesekali dikesan merentasi sempadan, walaupun jumlahnya tidak sebanyak seperti semasa ketegangan sebelum ini, dan dipercayai digunakan untuk tujuan tinjauan risikan.
Winthai turut mendakwa Kemboja sedang berusaha menjejaskan imej Thailand dengan menyebarkan dakwaan palsu, termasuk tuduhan bahawa tentera Thailand merosakkan tapak Warisan Dunia Preah Vihear.
Beliau berkata Thailand mempunyai bukti bahawa kawasan berkenaan digunakan sebagai pangkalan tentera bagi melancarkan serangan, yang melanggar peraturan antarabangsa.
Berhubung kawasan Bukit 745 di Chong Bok, Winthai berkata tentera Thailand masih belum dapat menguasai sepenuhnya kawasan yang didakwa telah dicerobohi oleh tentera Kemboja itu, namun katanya sebarang usaha menuntut semula wilayah itu perlu diteliti secara berhati-hati.
Beliau menambah bahawa Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Pentadbiran Tempatan dan Kementerian Pertahanan kini bekerjasama rapat bagi melindungi rakyat Thailand di sepanjang sempadan, dengan tumpuan diberikan kepada rondaan dan pembinaan infrastruktur.
Dalam pada itu, operasi pembersihan periuk api masih diteruskan, dengan Wilayah Tentera Kedua mempercepat kerja-kerja penambahbaikan di beberapa lokasi strategik termasuk Prasat Ta Kwai dan Bukit 350, yang turut dipertimbangkan untuk dibangunkan sebagai tarikan pelancong.