MOS: 18 pelaut Malaysia masih bertugas di zon konflik Asia Barat

Pihak persatuan menggesa syarikat perkapalan untuk memastikan perlindungan sewajarnya diberikan, merangkumi aspek keselamatan fizikal, perlindungan insurans yang mencukupi, serta pampasan yang setimpal dengan risiko beroperasi di zon konflik.

By
Kebanyakan pelaut meneruskan operasi seperti biasa di bawah pemantauan keselamatan yang ketat oleh syarikat perkapalan dan pengurusan kapal. (FAIL) / AP

Persatuan Pelaut-Pelaut Luar Pantai Malaysia (MOS) melaporkan seramai 18 ahlinya kini sedang bertugas di beberapa kawasan operasi di Asia Barat yang telah dikategorikan sebagai zon konflik, menurut laporan BERNAMA.

Presiden MOS Kapten Ismail Yahaya mengesahkan maklumat tersebut menerusi rangkaian ahli yang berkhidmat di atas kapal sokongan industri minyak dan gas di wilayah berkenaan, termasuk di Arab Saudi, Qatar, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Setakat ini, kebanyakan pelaut dilaporkan meneruskan operasi seperti biasa di bawah pemantauan keselamatan yang ketat oleh syarikat perkapalan dan pengurusan kapal.

Kapten Ismail menjelaskan industri luar pantai mempunyai prosedur keselamatan khusus bagi operasi di kawasan berisiko tinggi yang sentiasa dipantau oleh pengendali bagi memastikan keselamatan anak kapal terjamin.

Walau bagaimanapun, MOS menekankan bahawa kebajikan dan keselamatan warga Malaysia harus kekal menjadi keutamaan.

Pihak persatuan menggesa syarikat perkapalan untuk memastikan perlindungan sewajarnya diberikan, merangkumi aspek keselamatan fizikal, perlindungan insurans yang mencukupi, serta pampasan yang setimpal dengan risiko beroperasi di zon konflik.

Menurut data MOS, sembilan pelaut berada di Arab Saudi, empat di Qatar, manakala lima lagi ditempatkan di sektor Dubai dan Abu Dhabi, UAE.

Antara yang dikenal pasti termasuk Haizir Abu Hasan, Mohd Subky Mohd Isa, dan Kapten Suryaintheran Selvaraja di Arab Saudi, serta Mohamad Hafizzudin Mohamad Suraji di Qatar dan Mu’ammar Asyraf Buzali di UAE.

MOS berkata ia akan terus memantau perkembangan situasi di rantau tersebut dan mengekalkan komunikasi berterusan dengan ahli-ahli di lapangan.

“Langkah ini penting bagi memastikan sebarang perubahan status keselamatan dapat ditangani dengan segera demi kesejahteraan pelaut Malaysia yang terdedah kepada risiko peperangan,” katanya.

Ketegangan di Asia Barat dilaporkan semakin meruncing sejak 28 Februari lalu, susulan serangan yang dilancarkan oleh Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran.

Situasi itu mencetuskan serangan balas oleh Tehran terhadap aset tentera AS di negara-negara Teluk, sekali gus meningkatkan risiko keselamatan maritim di seluruh wilayah berkenaan.