Dr. Sani Araby Abdul Alim Araby daripada Pertubuhan Perundingan Islam Malaysia (MAPIM) menyampaikan penghargaan kepada Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim, atas sokongan tidak berbelah bahagi terhadap misi kemanusiaan untuk rakyat Palestin .
Dalam ucapannya di 'Himpunan Solidariti Bersama Gaza' di Axiata Arena, Bukit Jalil, Sani yang juga Pengarah Pusat Komando Sumud Nusantara (SNCC) mendedahkan bahawa dorongan Perdana Menteri menjadi sumber kekuatan kepada aktivis Malaysia yang menyertai pelayaran Global Sumud Flotilla 2025 ke Gaza.
Beliau turut berkata, walaupun pada awalnya menjangkakan Perdana Menteri akan menolak cadangan misi yang kelihatan mustahil itu, Anwar hanya memberikan satu kata putus, 'teruskan’, yang menjadi pencetus dan semangat untuk melancarkan misi tersebut .
Sani Araby turut berkongsi bahawa Perdana Menteri sentiasa mengambil berat tentang keselamatan aktivis dengan kerap meminta status terkini mereka. Beliau terus berurusan dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, bagi mendapatkan sokongan antarabangsa untuk membebaskan sukarelawan Malaysia yang ditahan oleh rejim Zionis Israel .
Di dalam ucapan beliau, Dr. Sani juga telah mengusulkan agar misi bantuan kemanusiaan seterusnya ke Gaza dilancarkan melalui Mesir dengan kelulusan dan sokongan Perdana Menteri, dengan memanfaatkan hubungan baik Anwar dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi.
Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia yang turut terlibat dalam Global Sumud Flotilla, berkata bahawa pelayaran Flotilla tersebut telah mendedahkan komitmen kukuh Malaysia kepada misi kemanusiaan global di mata komuniti antarabangsa, dan beberapa negara kini berminat untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam inisiatif masa hadapan.
Menurut beliau, mereka mahu Malaysia memimpin pergerakan seterusnya.
“Marilah kita melakukannya dengan cara Malaysia, cara Nusantara.”