Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Sanae Takaichi atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri Jepun yang baharu.
Beliau menyifatkan pelantikan itu sebagai detik bersejarah dalam landskap politik Jepun, mencerminkan keteguhan tekad Takaichi serta kematangan sistem demokrasi negara itu.
“Pelantikan beliau sebagai perdana menteri wanita pertama Jepun merupakan pencapaian penting dalam sejarah politik negara tersebut — satu lambang kepada keazaman beliau dan evolusi tenang demokrasi Jepun,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Anwar menegaskan bahawa Malaysia amat menghargai hubungan Perkongsian Strategik Komprehensif dengan Jepun, yang berteraskan kepercayaan, inovasi serta komitmen bersama terhadap kestabilan serantau dan pembangunan mampan.
“Saya menantikan kehadiran Perdana Menteri Takaichi ke Kuala Lumpur minggu hadapan bagi Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun, di mana kedua-dua negara akan terus memperkukuh hubungan ini,” katanya.
Takaichi, 64, mencipta sejarah apabila dipilih sebagai perdana menteri wanita pertama Jepun selepas memperoleh 237 undi daripada 465 kerusi di Parlimen.
Sebagai Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), beliau membentuk kerajaan campuran bersama Parti Inovasi Jepun.










