Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia tidak akan berganjak daripada pendiriannya yang menyekat kemasukan warganegara Israel, sambil membidas desakan lapan Ahli Kongres Amerika Syarikat sebagai sesuatu yang tidak berasas dan mengarut.
Beliau berkata Malaysia merupakan sebuah negara merdeka dan berdaulat yang mempunyai hak sepenuhnya untuk mempertahankan dasar luar serta keputusan domestiknya, berhubung tindakan sekatan yang sudah pun dikuatkuasakan sejak puluhan tahun lalu.
Kenyataan tegas itu dikeluarkan berikutan tindakan kumpulan ahli Parti Demokrat AS berkenaan yang mengugut untuk mendesak Washington mengambil tindakan dan menggantung dana latihan ketenteraan ke atas Putrajaya.
"Ia tidak menghalang... dia boleh membuat ugutan, tetapi saya akan tegas mempertahankan hak rakyat Malaysia dan keputusan yang dibuat rakyat Malaysia untuk tetap menghalang kehadiran mana-mana warga Israel di Malaysia.
"AS memang sedia maklum dasar Malaysia ini sudah puluhan tahun. Jadi, saya tidak fikir ia patut menjejaskan. Kita masih menerima baik rakyat Amerika dan perniagaan, pelaburan serta perdagangan AS. Mustahil untuk kita sampai ke tahap tidak sanggup dan tidak berani menegur keterlanjuran dari segi pembunuhan rakyat yang tidak bersalah, termasuk di Palestin dan Gaza," tegas beliau.
Anwar turut menyelar sikap ahli Demokrat terbabit yang menutup mata terhadap kekejaman dan pembunuhan berterusan Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza, sambil menegaskan bahawa hubungan perdagangan dan pelaburan dengan Washington akan tetap diteruskan secara profesional tanpa mengorbankan prinsip kemanusiaan negara.






















