Lonjakan harga minyak tamparan hebat buat ekonomi Filipina

Penganalisis memberi amaran bahawa negara itu mempunyai simpanan bahan api yang terhad, selain sistem harga domestik yang sangat sensitif terhadap turun naik pasaran global, sekali gus meletakkan isi rumah Filipina dalam risiko inflasi yang tinggi.

By
Penunggang motosikal beratur panjang susulan jangkaan harga minyak meningkat akibat konflik AS-Israel dengan Iran, di Manila, Filipina, 9 Mac 2026. / Reuters

Ekonomi Filipina dijangka berdepan tekanan lebih pantas berbanding negara Asia lain susulan lonjakan harga minyak mentah global yang dicetuskan oleh ketegangan di Timur Tengah, menurut laporan media tempatan Inquirer.

Penganalisis memberi amaran bahawa negara itu mempunyai simpanan bahan api yang terhad, selain sistem harga domestik yang sangat sensitif terhadap turun naik pasaran global, sekali gus meletakkan isi rumah Filipina dalam risiko inflasi yang tinggi.

Deepali Bhargava, Ketua Penyelidikan Asia-Pasifik di ING, menyatakan bahawa Filipina berdepan risiko jangka pendek yang lebih besar berbanding jirannya seperti Thailand dan Indonesia.

Kesan rantaian ini sudah mula kelihatan apabila beberapa agensi kerajaan di Manila terpaksa beralih kepada empat hari waktu bekerja seminggu bagi mengurangkan kos bahan api yang melambung tinggi.

Pasaran kewangan global juga bergolak selepas harga minyak mentah melepasi paras $100 setong ekoran serangan bersama oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran.

Tindakan balas Tehran yang menyekat laluan kritikal di Selat Hormuz telah memburukkan lagi kebimbangan bekalan, menyebabkan nilai mata wang peso merosot ke paras 59.385 berbanding dolar AS semalam.

Gabenor Bangko Sentral ng Pilipinas (BSP), Eli Remolona Jr., memberi amaran bahawa bank pusat mungkin terpaksa menaikkan kadar faedah jika harga minyak kekal di atas paras $100 dan pengukuhan dolar AS berterusan.

Sementara itu, Presiden Marcos telah meminta kuasa daripada Kongres untuk menggantung cukai eksais bahan api dan mengumumkan subsidi sebanyak P5,000 buat pemandu pengangkutan awam yang terkesan.

Walau bagaimanapun, pakar ekonomi Bank Pembangunan Asia (ADB), James Villafuerte, menyarankan agar bantuan disasarkan secara terus kepada golongan rentan melalui subsidi pendapatan atau makanan, berbanding penggantian cukai eksais secara menyeluruh.

Beliau berpendapat langkah itu lebih efektif dalam menangani impak sosial memandangkan golongan kaya yang memiliki banyak kenderaan akan mendapat lebih manfaat daripada pemotongan cukai.

Selain faktor tenaga, krisis ini juga mengancam bekalan makanan memandangkan kenaikan harga baja dari Timur Tengah boleh menjejaskan hasil tanaman.

Pakar meramalkan pemulihan ekonomi Filipina yang rapuh mungkin terganggu, dengan jangkaan kadar inflasi akan menghampiri sasaran teratas BSP sebanyak 4 peratus, sekali gus menutup ruang untuk pemotongan kadar faedah pada tahun ini.