Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman, memberitahu Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bahawa kerajaannya mahu melabur $600 bilion dalam usaha mengembangkan pelaburan dan perdagangan dengan AS untuk tempoh empat tahun akan datang.
Dalam satu panggilan telefon antara kedua-dua pemimpin, putera mahkota itu berkata reformasi yang dijangka daripada pentadbiran Trump dapat mencipta “kemakmuran ekonomi yang belum pernah terjadi”, menurut agensi berita rasmi Saudi pada Khamis.
Mohammed mengucapkan tahniah kepada Trump selepas kembali ke Rumah Putih dan turut menyampaikan ucapan tahniah daripada ayahandanya, Raja Salman, semasa panggilan telefon itu, menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri.
Laporan tersebut tidak memperincikan sumber $600 bilion itu, sama ada daripada perbelanjaan awam atau swasta, termasuk bagaimana wang itu akan digunakan.
Pelaburan itu “boleh meningkat lebih banyak jika ada peluang tambahan,” menurut agensi itu yang memetik Mohammed semasa panggilan telefon dengan Trump.
Kerjasama kukuh
Trump mula menjalin hubungan rapat dengan negara-negara Teluk termasuk Arab Saudi semasa penggal pertamanya sebagai President. Negara tersebut melabur $2 bilion dalam sebuah firma yang ditubuhkan Jared Kushner, menantu Trump dan bekas pembantunya, selepas Trump meninggalkan jawatan.
Selepas mengangkat sumpah, Trump berkata pada Isnin bahawa beliau akan mempertimbangkan untuk menjadikan Arab Saudi destinasi pertamanya bagi lawatan luar negara jika Riyadh bersetuju membeli produk AS bernilai $500 bilion, sama seperti yang dilakukan semasa penggal pertamanya.
“Saya melakukannya dengan Arab Saudi sebelum ini kerana mereka bersetuju untuk membeli produk kita bernilai $450 bilion. Seperti yang saya kata, saya akan bersetuju tetapi anda mesti membeli produk Amerika, dan mereka bersetuju,” kata Trump, merujuk kepada lawatannya ke Kerajaan Saudi pada 2017.


















