Sekumpulan pengamal media hari ini dilarang daripada membuat liputan berhubung penyampaian keputusan semakan kehakiman mencabar tindakan kerajaan mengeluarkan cecair nikotin daripada senarai racun, meskipun prosiding tersebut dijalankan di mahkamah terbuka, lapor New Straits Times.
Keputusan itu dijadualkan pada jam 2.45 petang melalui persidangan video di hadapan hakim Mahkamah Rayuan, Aliza Sulaiman, yang bersidang sebagai hakim Mahkamah Tinggi.
Kes ini melibatkan isu kepentingan perlembagaan dan awam yang signifikan.
Setakat ini, tiada sebarang alasan diberikan oleh pihak mahkamah berhubung sekatan tersebut.
Mengikut prinsip keadilan terbuka, prosiding mahkamah secara amnya boleh diakses oleh orang awam dan media melainkan terdapat perintah khas yang menyatakan sebaliknya.
Semakan kehakiman tersebut difailkan oleh tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mencabar pengecualian cecair dan gel nikotin yang digunakan dalam produk vape daripada kawalan di bawah Akta Racun.
NGO berkenaan memohon pengisytiharan mahkamah bahawa keputusan Kementerian Kesihatan mengeluarkan nikotin daripada senarai Akta Racun adalah tidak sah dan terbatal.
Mereka berhujah bahawa keputusan yang dibuat pada tahun 2023 oleh Menteri Kesihatan ketika itu, Zaliha Mustafa, menyebabkan produk vape tidak dikawal selia dan mudah diakses oleh golongan bawah umur selama kira-kira 17 bulan.
Tempoh tersebut berlarutan sehingga Akta Kawalan Produk Merokok demi Kesihatan Awam 2024 dikuatkuasakan pada 1 Oktober tahun lalu.
Walau bagaimanapun, pihak kerajaan mempertahankan tindakan tersebut dengan menegaskan bahawa menteri telah bertindak mengikut bidang kuasa di bawah Seksyen 6 Akta Racun selepas berunding dengan Lembaga Racun.














