DUNIA
2 min membaca
Anwar ucap takziah atas pemergian mantan Emir Qatar
Anwar menyifatkan Sheikh Hamad sebagai seorang pemimpin berwibawa yang berjaya membawa transformasi besar kepada Qatar sepanjang 18 tahun menerajui negara tersebut.
Anwar ucap takziah atas pemergian mantan Emir Qatar
Mantan Emir Qatar Sheikh Hamad bin Khalifa Al Thani mangkat pada usia 74 tahun. / Anadolu Agency

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan takziah bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia kepada kerajaan serta seluruh rakyat Qatar susulan pemergian mantan pemimpin negara itu, Sheikh Hamad bin Khalifa Al Thani, yang mangkat pada usia 74 tahun.

Anwar menyifatkan Sheikh Hamad sebagai seorang pemimpin berwibawa yang berjaya membawa transformasi besar kepada Qatar sepanjang 18 tahun menerajui negara tersebut.

Di bawah kepimpinannya, Anwar berkata Qatar bukan sahaja mencapai kemajuan ekonomi yang luar biasa, malah muncul sebagai suara yang berpengaruh dalam hal ehwal serantau dan antarabangsa.

"Bagi pihak Malaysia, saya merakamkan ucapan takziah yang paling mendalam kepada Yang Mulia Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, kerabat diraja Qatar, serta seluruh rakyat Qatar atas pemergian Yang Mulia 'Father Amir', Sheikh Hamad bin Khalifa Al Thani," kata beliau dalam satu kenyataan.

Perdana Menteri turut memuji tindakan Sheikh Hamad pada tahun 2013 yang menyerahkan tampuk kepimpinan kepada generasi baharu sebagai satu langkah negarawan yang jarang ditemui.

Beliau menyifatkan almarhum Sheikh Hamad sebagai seorang sahabat setia Malaysia serta tokoh yang amat dihormati di seluruh dunia Islam.

"Semoga Allah merahmati rohnya dan mengurniakan kekuatan serta ketabahan kepada kerabat diraja dan rakyat Qatar dalam menghadapi suasana dukacita ini. Al-Fatihah," tambah Anwar dalam kenyataan tersebut.

Sheikh Hamad memimpin Qatar dari tahun 1995 hingga 2013, sebelum menyerahkan takhta kepada anakandanya yang juga Emir Qatar semasa, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani.

Berita kemangkatan almarhum diumumkan secara rasmi oleh pejabat negara Qatar pada Ahad.

SUMBER:TRT Global