Jepun, Filipina meterai perjanjian logistik perkukuh kerjasama keselamatan

Melalui ACSA, Angkatan Pertahanan Diri Jepun dan angkatan Filipina boleh saling membekalkan keperluan asas seperti bahan api, makanan dan peluru semasa menjalani latihan bersama, sekali gus meningkatkan fleksibiliti operasi tentera.

By
Menteri Luar Filipina Theresa Lazaro bersama Menteri Luar Jepun Toshimitsu Motegi di Pasay City, Metro Manila, Filipina, pada 15 Januari 2026. / Reuters

Jepun dan Filipina pada Khamis memeterai satu perjanjian logistik penting yang dijangka memperkukuh kerjasama keselamatan dan pertahanan kedua-dua negara, ketika kehadiran maritim China semakin meningkat di rantau ini, menurut laporan Inquirer.

Perjanjian yang dikenali sebagai Acquisition and Cross-Servicing Agreement (ACSA) itu ditandatangani dalam pertemuan menteri luar di Manila, menjadikan Filipina negara ASEAN pertama memeterai perjanjian seumpama itu dengan Jepun.

Melalui ACSA, Angkatan Pertahanan Diri Jepun dan angkatan Filipina boleh saling membekalkan keperluan asas seperti bahan api, makanan dan peluru semasa menjalani latihan bersama, sekali gus meningkatkan fleksibiliti operasi tentera.

Dengan pemeteraian itu, Filipina menjadi negara ke-11 yang mempunyai ACSA dengan Jepun, selaras dengan usaha Tokyo untuk memperkukuh kerjasama keselamatan dengan rakan strategik bagi mengekang tindakan unilateral yang mengubah status quo di perairan serantau.

Dalam pertemuan berkenaan, Jepun turut mengumumkan sokongan tambahan kepada Filipina termasuk pembinaan kemudahan bot dan slipway untuk bot pemantauan laju Tentera Laut Filipina, iaitu di bawah program Bantuan Keselamatan Rasmi (OSA) Jepun.

Kedua-dua negara turut menegaskan mereka tidak bersetuju dengan sebarang usaha untuk mengubah status quo melalui paksaan atau kekerasan, selain menekankan kepentingan kerjasama trilateral Jepun–Filipina–Amerika Syarikat dalam menghadapi cabaran keselamatan dan memastikan kestabilan serantau.