Filipina anjur pertemuan pertama pihak berkepentingan Myanmar

Pertemuan itu menghimpunkan pelbagai pihak dari Myanmar untuk bertukar pandangan mengenai usaha mengurangkan ketegangan, memudah cara bantuan kemanusiaan, menangani jenayah rentas sempadan, dan menggalakkan dialog politik antara pihak berkepentingan.

By
Theresa Lazaro berkata pertemuan itu akan menjadi komponen penting dalam strategi Pengerusi ASEAN. (FAIL) / AP

Filipina menjadi tuan rumah pertemuan melibatkan kumpulan politik dan etnik dari Myanmar, yang merupakan yang pertama dianjurkan di bawah kepengerusian negara itu dalam ASEAN, lapor Philippine News Agency.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina (DFA) berkata Mesyuarat Pihak Berkepentingan Myanmar itu diadakan awal bulan ini di Tagaytay City dan dianjurkan oleh Setiausaha DFA Theresa Lazaro selaku Wakil Khas Pengerusi ASEAN mengenai Myanmar.

Menurut DFA, pertemuan itu menghimpunkan pelbagai pihak dari Myanmar untuk bertukar pandangan mengenai usaha mengurangkan ketegangan, memudah cara bantuan kemanusiaan, menangani jenayah rentas sempadan secara berkesan serta menggalakkan dialog politik antara pihak berkepentingan.

Mesyuarat berkenaan turut mengiktiraf peranan penting Wakil Khas dalam menggalakkan “dialog konstruktif antara semua pihak yang terlibat” serta memudah cara proses pengantaraan selaras dengan Konsensus Lima Perkara ASEAN (5PC).

Lazaro berkata pertemuan itu akan menjadi komponen penting dalam strategi Pengerusi ASEAN untuk melibatkan pelbagai pihak berkepentingan di Myanmar, sambil menegaskan bahawa “keamanan berkekalan hanya boleh dicapai melalui proses yang inklusif”.

Presiden Ferdinand R. Marcos Jr. telah melantik Lazaro sebagai wakil khas bagi membantu memudah cara penyelesaian aman krisis Myanmar, ketika Filipina memegang jawatan pengerusi ASEAN tahun ini.

Sebelum ini, DFA memaklumkan Lazaro akan meneruskan usaha yang telah digerakkan oleh wakil khas Malaysia, dengan tumpuan diberikan kepada usaha menggalakkan dialog konstruktif dan penyaluran bantuan kemanusiaan di Myanmar.