Kemboja, Thailand nyatakan kesediaan gencatan senjata kepada China
Wang Yi berkata China berasa amat bimbang dengan angka korban awam yang semakin meningkat, sambil menegaskan bahawa peningkatan konflik tidak menguntungkan mana-mana pihak selain menjejaskan solidariti ASEAN
Kemboja dan Thailand telah menyatakan kesediaan untuk meredakan ketegangan serta melaksanakan gencatan senjata susulan pertempuran sempadan terkini, menurut Kementerian Luar China seperti dipetik dalam laporan South China Morning Post.
Perkara itu dimaklumkan secara berasingan oleh Menteri Luar Kemboja yang juga Timbalan Perdana Menteri Prak Sokhonn, serta Menteri Luar Thailand Sihasak Phuangketkeow, dalam perbualan telefon dengan Menteri Luar China Wang Yi pada Khamis, yang turut diberi taklimat mengenai perkembangan terkini konflik berkenaan.
Wang berkata China, sebagai rakan dan jiran rapat kedua-dua negara, berasa amat bimbang dengan angka korban awam yang semakin meningkat, sambil menegaskan bahawa peningkatan konflik tidak menguntungkan mana-mana pihak selain menjejaskan solidariti ASEAN.
“Keutamaan sekarang adalah bagi menghentikan permusuhan secepat mungkin, mengelakkan kerugian bertambah dan membina semula kepercayaan,” katanya.
China pada hari sama menghantar utusan khasnya ke Thailand dan Kemboja bagi usaha damai, dengan Kementerian Luar China memaklumkan delegasi diplomasi itu diketuai Utusan Khas Hal Ehwal Asia Deng Xijun.
Ketegangan kembali memuncak awal bulan ini selepas Thailand melancarkan serangan udara di kawasan sempadan, mencetuskan tindakan balas Kemboja, dengan kedua-dua pihak saling menuduh pembunuhan orang awam serta serangan ke atas infrastruktur awam, yang mengakibatkan puluhan anggota tentera terkorban.
Usaha perantaraan China ini menyusul selepas gesaan gencatan senjata oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump minggu lalu gagal menghentikan pertempuran, manakala ASEAN yang dipengerusikan Malaysia turut mengusahakan rundingan damai dengan kedua-dua menteri luar yang dijadual menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN pada 22 Disember.