Sebanyak tujuh buah kapal tangki milik syarikat Malaysia kini dilaporkan sedang menunggu isyarat untuk melintasi Selat Hormuz, susulan peningkatan ketegangan yang menyelubungi rantau Timur Tengah ketika ini, menurut laporan New Straits Times.
Menteri Luar Mohamad Hasan mengesahkan aset tersebut melibatkan tiga kapal milik Petronas, dua milik MISC Bhd, manakala selebihnya masing-masing adalah milik Sapura Energy dan Shapadu Corporation Sdn Bhd.
Beliau menjelaskan bahawa kesemua kapal berkenaan tidak ditahan, sebaliknya hanya menunggu masa yang sesuai bagi menjamin keselamatan pelayaran.
Menurut Mohamad, kerajaan Malaysia telah mengadakan perbincangan awal dengan pihak berkuasa Iran yang memberikan maklum balas positif.
Usaha diplomatik tersebut turut diperkukuhkan menerusi rundingan peribadi beliau bersama rakan sejawat, selain panggilan telefon daripada Perdana Menteri Anwar Ibrahim kepada Presiden Iran bagi melancarkan permohonan tersebut.
"Iran sendiri menyatakan tiada isu untuk membenarkan kapal kita melalui Selat Hormuz dan buat masa sekarang ini yang dilepaskan adalah kapal yang membawa kargo manakala bagi kapal tangki, mereka perlu tunggu dahulu," katanya kepada media di Rembau pada Sabtu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau memaklumkan, kelewatan itu berpunca daripada gangguan komunikasi antara pusat arahan di Tehran dengan komander di lapangan akibat konflik.
Langkah berhati-hati ini, katanya, diambil bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini berlaku sekiranya arahan pelepasan tidak difahami sepenuhnya oleh petugas di lokasi.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad menasihatkan rakyat Malaysia yang merancang untuk menunaikan umrah supaya mempertimbangkan penangguhan perjalanan jika perlu, meskipun ruang udara antarabangsa masih dibuka.
"Jika mereka boleh tangguh (menunaikan umrah), disaran menangguhkannya dulu kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku dalam keadaan tidak menentu. Tetapi jika sudah dibuat tempahan (penerbangan), itu terpulanglah sebab penerbangan setakat ini tidak terjejas," katanya.












