164 rakyat Malaysia dibawa pulang dari zon konflik Asia Barat

Operasi pemindahan ini merangkumi mereka yang dibawa pulang dari empat negara utama iaitu Arab Saudi, Syria, Jordan, dan Qatar.

By
Kesemua penumpang dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini. (FAIL) / Reuters

Seramai 164 rakyat Malaysia yang terkandas di zon konflik Asia Barat telah berjaya dibawa keluar dan dijadualkan tiba di tanah air pada Rabu, menurut laporan Bernama.

Misi sulung anjuran kerajaan ini turut melibatkan lima warga Thailand yang merupakan ahli keluarga rakyat Malaysia, serta seorang warga Indonesia.

Pesawat khas Malaysia Airlines yang membawa kesemua 170 penumpang itu dijangka mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 11 pagi hari ini.

Operasi pemindahan ini merangkumi mereka yang dibawa pulang dari empat negara utama iaitu Arab Saudi, Syria, Jordan, dan Qatar.

Ketua Penolong Pengarah Pengurusan Krisis Negara Majlis Keselamatan Negara (MKN) Fauzan Amin Misnon mengesahkan proses evakuasi berjalan lancar hasil kerjasama erat dengan misi diplomatik Malaysia.

Menurut beliau, kesemua individu yang terlibat pulang secara sukarela selepas mendaftar melalui sistem dalam talian Kementerian Luar Negeri.

"Secara keseluruhannya semua penumpang berada dalam keadaan baik namun terdapat dua individu yang memerlukan perhatian khusus berikutan masalah kesihatan," ujar Fauzan Amin yang turut menyertai operasi berkenaan.

Misi khas itu dilaksanakan atas arahan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mahu langkah segera diambil bagi menjamin keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia.

Pesawat Airbus 330-300 itu sebelum ini mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz pada jam 8.35 malam waktu tempatan untuk proses pengambilan penumpang.

Ketegangan di Asia Barat dilaporkan memuncak sejak 28 Februari lalu ekoran serangan Israel dan Amerika Syarikat ke atas Iran, yang kemudiannya mencetuskan serangan balas oleh Tehran terhadap aset-aset AS di negara-negara Teluk.