Sekurang-kurangnya 72 orang terbunuh selepas gempa bumi berukuran 6.9 magnitud melanda utara Cebu, Filipina, sementara gegaran susulan turut dirasai di kawasan tersebut, lapor portal tempatan Inquirer.
Menurut Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Negara (NDRRMC) lebih 294 orang cedera dalam gempa yang berpusat di perairan Cebu.
Bencana itu turut menyebabkan kerosakan besar pada bangunan awam, infrastruktur serta gangguan bekalan elektrik dan air.
Pasukan penyelamat masih menjalankan operasi mencari mangsa di kawasan runtuhan paling teruk terjejas, meskipun berdepan kesukaran berikutan gegaran susulan yang berterusan.
Gempa kali ini dianggap antara yang paling dahsyat di Cebu dalam dekad kebelakangan ini, dengan bandar Bogo dan San Remigio antara kawasan paling parah terkesan.
Lebih 2,600 gegaran susulan telah direkodkan sejak kejadian itu, meningkatkan risiko bahaya kepada penduduk serta menjejaskan operasi bantuan.
Kerajaan Filipina mengerahkan tentera dan pasukan kecemasan selain mengisytiharkan beberapa kawasan di Cebu sebagai zon bencana bagi mempercepatkan usaha bantuan.