Pada bulan lalu semasa beliau menjadi tuan rumah kepada pemimpin Armenia dan Azerbaijan di White House, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berikrar bahawa “aspirasi utama” beliau sebagai presiden ialah untuk “mencapai keamanan dan kestabilan di seluruh dunia”.
Namun sebulan kemudian, beliau mengumumkan rancangan untuk menamakan semula Jabatan Pertahanan kepada Jabatan Perang, bercanggah dengan retorik keamanannya sejak kempen pilihan raya presiden 2024.
“Kita menang Perang Dunia Pertama, kita menang Perang Dunia Kedua, kita menang semua perang sebelum itu, kemudian kita memutuskan untuk jadi ‘woke’, dan kita tukar nama kepada DOD. Jadi, kita akan kembali menggunakan Jabatan Perang,” kata Trump pada sidang media di Pejabat Oval minggu lalu untuk menjelaskan sebab penjenamaan semula itu.
Edward Erickson, bekas pegawai tentera Amerika dengan pengalaman ketenteraan yang luas dan profesor bersara dalam sejarah ketenteraan di Jabatan Pengajian Perang di Marine Corps University, berkata langkah Trump menukar nama itu adalah “isyarat politik yang cetek yang menggambarkan sejenis pemikiran yang tidak cukup matang mengenai pertahanan negara.”
Selagi keupayaan pertahanan dan ketenteraan sesebuah negara tidak disokong oleh kekuatan ekonomi, politik, dan budaya serta diperkukuh oleh perkongsian serantau dan antarabangsa, perkataan ‘perang’ semata-mata tidak akan membawa hasil, menurut Erickson.
“Presiden Dwight D Eisenhower sudah mengingatkan kita pada 1950-an bahawa pertahanan negara termasuklah pendidikan, ekonomi yang kukuh, rakyat yang sihat, sekutu antarabangsa, dan susunan sosial yang menjamin peluang untuk semua. Trump dan (Ketua Pentagon Pete) Hegseth nampaknya tidak tahu atau tidak ingat perkara itu,” kata Erickson kepada TRT World.
Eisenhower, jeneral terkenal yang mengetuai pasukan Bersekutu di Eropah Barat semasa Perang Dunia Kedua, tidak pernah merendahkan pertahanan kepada perang semata-mata. Namun, menurut Erickson, seorang hartawan hartanah seperti Trump kelihatan lebih bersemangat daripada seorang panglima tentera untuk menjenamakan semula Pentagon sebagai Jabatan Perang.
Matthew Bryza, bekas diplomat AS, percaya bahawa penukaran nama oleh Trump itu mungkin ada kaitan dengan keperluan tentera AS “untuk memberi lebih tumpuan kepada peperangan berbanding birokrasi”.
Presiden AS itu sejak sekian lama telah menyuarakan rasa tidak puas hati dengan birokrasi, menandatangani pelbagai perintah eksekutif untuk mengurangkan jumlah kakitangan persekutuan dan memperkemas proses birokrasi.
Namun, menamakan semula Jabatan Pertahanan (DOD) kepada Jabatan Perang mungkin akan mewujudkan lebih banyak birokrasi, menurut bekas dan pegawai Pentagon semasa.
Walaupun tidak jelas bagaimana penukaran nama itu akan menjejaskan operasi jangka panjang Pentagon sebelum ia dilaksanakan, kosnya boleh mencecah berbilion dolar hanya untuk mengemas kini urusan DOD di lebih 700,000 kemudahan di 40 negara dan kesemua 50 negeri Amerika, menurut laporan terkini Politico.
“Ini termasuk segala-galanya daripada kepala surat untuk enam cabang tentera dan puluhan agensi lain sehinggalah ke hiasan di dewan makan, jaket bersulam untuk pegawai yang disahkan Senat, serta keychain dan cenderamata di kedai Pentagon,” menurut laporan itu.
‘Keamanan melalui kekuatan’
Ketua Pentagon Pete Hegseth, tokoh kontroversi yang tindakannya mengusir beberapa pegawai kanan telah menimbulkan kekecohan di Pentagon, berkata penjenamaan semula itu ada kaitan dengan visi “keamanan melalui kekuatan”.
Namun kuasa besar lain, dari China—yang perbarisan tenteranya baru-baru ini di Beijing memberi isyarat menuntut status setara dengan AS—hinggalah Rusia, yang terus melancarkan serangan dron ke atas Ukraine, kelihatan tidak terkesan dengan perubahan nama tersebut.
“Bukan sahaja ini akan menelan belanja jutaan dolar, malah ia langsung tidak akan memberi kesan terhadap perkiraan China atau Rusia. Lebih buruk lagi, ia akan digunakan oleh musuh kita untuk menggambarkan Amerika Syarikat sebagai penghasut perang dan ancaman kepada kestabilan antarabangsa,” kata seorang bekas pegawai DOD.
Namun Bryza menekankan bahawa “untuk menghalang perang, anda perlu kuat dan bersedia untuk berperang.” Oleh itu, beliau melihat “tiada percanggahan antara menamakan semula Jabatan Pertahanan dengan usaha mengejar keamanan’.”
Jabatan Perang pada asalnya dibentuk oleh Presiden pertama AS, George Washington, pada 1789.
Harry Truman, presiden Demokrat yang menggantikan Franklin Roosevelt pada penghujung Perang Dunia Kedua, menamakan semula Jabatan Perang sebagai Jabatan Pertahanan pada 1947 untuk menyatukan angkatan bersenjata di bawah satu kepimpinan awam.
Perubahan itu berlaku ketika AS sedang membentuk semula dunia pasca perang, selepas ia mula sedar akan kepentingan kuasa ketenteraan yang semakin meningkat.
Dalam konteks ini, sejarawan mendapati usaha Trump untuk menukar nama itu agak janggal dengan mengambil kira sejarah dan simbolisme jabatan tersebut.
“Saya faham bahawa dengan memanggil sesuatu sebagai jabatan perang dan bukannya pertahanan, ia seolah-olah menggambarkan doktrin ketenteraan politik baharu Amerika Syarikat yang lebih agresif.
“Tetapi sekali lagi, Presiden Trump akan berhujah bahawa beliau cuba mengelakkan perang dengan membuat persiapan untuk berperang dan memenangi perang,” kata Bryza.