Empat cedera susulan letupan bom di stesen minyak selatan Thailand
Pihak tentera memaklumkan letupan berlaku kira-kira 40 minit selepas tengah malam melibatkan 11 stesen minyak di wilayah Narathiwat, Pattani dan Yala.
Beberapa letupan bom menyasarkan stesen-stesen minyak di selatan Thailand pada awal pagi Ahad yang mencederakan empat individu, menurut pihak tentera, dalam siri serangan terbaharu di wilayah yang dilanda konflik berpanjangan itu.
Pihak tentera memaklumkan letupan berlaku kira-kira 40 minit selepas tengah malam, menurut laporan AFP, yang melibatkan 11 stesen minyak di wilayah Narathiwat, Pattani dan Yala, dengan pam bahan api mengalami kerosakan teruk.
Seorang anggota polis cedera di Narathiwat, manakala seorang anggota bomba serta dua pekerja stesen minyak cedera di Pattani. Kesemua mangsa dirawat di hospital dan dilaporkan tidak mengalami kecederaan serius.
Menurut laporan media tempatan The Nation, Gabenor Narathiwat Boonchauy Homyamyen berkata letupan dipercayai dilakukan serentak oleh kumpulan tidak dikenali.
Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul pula menyifatkan serangan itu sebagai “isyarat” mengenai pilihan raya pentadbiran tempatan dan bukan bertujuan mencetuskan pemberontakan berskala besar.
Susulan kejadian itu, Panglima Tentera Darat di selatan mengarahkan agar tahap keselamatan dinaikkan ke tahap maksimum, termasuk di pusat pemeriksaan dan kawasan sempadan.
Awal hari ini, pihak berkuasa telah membatalkan perintah berkurung serta langkah keselamatan ketat di Narathiwat selepas keadaan kembali terkawal.
Mengenai perkembangan siasatan, pasukan keselamatan wilayah selatan telah dikerahkan untuk mengumpul bukti tambahan berkaitan pengeboman di lima stesen minyak PTT di Narathiwat.
Di sebuah stesen di daerah Cho-airong, kerosakan dilaporkan mencecah 100 peratus termasuk kedai serbaneka.
Pihak polis turut menemukan kesan darah dipercayai milik suspek serta jejak laluan pelaku melarikan diri ke kawasan semak berhampiran, sebelum mengesan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), selain merakam keterangan saksi bagi membantu menjejaki dan menahan pelaku.