Pemimpin ASEAN digesa henti perang Myanmar, capai persetujuan Laut China Selatan
Pelan damai lima perkara ASEAN yang dicadangkan pada 2021, termasuk tuntutan menghentikan keganasan serta-merta, setakat ini gagal membawa perubahan ketara.
Menteri-menteri luar ASEAN digesa untuk menghidupkan semula pelan damai yang gagal menamatkan perang saudara di Myanmar, selain mengejar sasaran memuktamadkan rundingan Kod Tatalaku (COC) Laut China Selatan dengan China tahun ini.
Blok serantau itu terus bergelut mempamerkan perpaduan, dengan cabaran terbaharu muncul susulan konflik berdarah antara Thailand dan Kemboja tahun lalu.
Pertempuran itu berjaya dihentikan melalui gencatan senjata yang diusahakan Malaysia, dengan sokongan Amerika Syarikat.
Usaha mengekalkan gencatan senjata tersebut menjadi antara agenda utama Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN di Cebu.
Filipina selaku pengerusi bergilir ASEAN tahun ini mengambil alih peranan Myanmar, yang digantung daripada mempengerusikan blok itu selepas rampasan kuasa tentera pada 2021.
ASEAN tidak mengiktiraf kerajaan tentera Myanmar dan kepimpinannya dilarang menghadiri mesyuarat peringkat tinggi, walaupun diplomat peringkat rendah dibenarkan menyertai sesi tertentu.
Konflik berpanjangan di negara itu telah meragut puluhan ribu nyawa dan menyebabkan jutaan orang kehilangan tempat tinggal.
Menteri Luar Malaysia Mohamad Hasan sebelum ini berkata ASEAN memutuskan untuk tidak menghantar pemerhati bagi pilihan raya Myanmar memandangkan syarat untuk proses yang bebas dan adil tidak dipenuhi, walaupun beberapa negara anggota memilih pendekatan berbeza secara individu.
Pelan damai lima perkara ASEAN yang dicadangkan pada 2021, termasuk tuntutan menghentikan keganasan serta-merta, setakat ini gagal membawa perubahan ketara.
Isu ini menjadi fokus utama perbincangan, dengan Setiausaha Luar Filipina Theresa Lazaro melaporkan perkembangan mengenai lawatan terbaharunya ke Myanmar serta dialog kumpulan politik dan etnik yang dianjurkan di Filipina.
Dalam masa sama, ASEAN turut digesa untuk memuktamadkan rundingan COC Laut China Selatan, bagi mengelak pertikaian wilayah antara China dan beberapa negara anggota daripada menjadi konflik yang lebih besar.
Rundingan yang tertangguh lebih dua dekad itu dijangka terus berdepan cabaran besar, khususnya berhubung status perjanjian sama ada mengikat secara undang-undang atau sebaliknya.