Malaysia kecam cubaan salah tafsir sokongan terhadap Palestin – Wisma Putra

Dalam kenyataan pada Ahad, Wisma Putra menegaskan bahawa pendirian Malaysia berhubung isu Palestin adalah konsisten sejak merdeka.

"Sokongan teguh kami terhadap perjuangan rakyat Palestin adalah selari dengan prinsip asas dasar luar negara,” menurut kenyataan Wisma Putra. / Reuters

Malaysia mengecam sekeras-kerasnya sebarang cubaan berniat jahat yang menyalah tafsirkan sokongan politik dan usaha kemanusiaan negara terhadap Palestin.

Dalam kenyataan pada Ahad, Wisma Putra menegaskan bahawa pendirian Malaysia berhubung isu Palestin adalah konsisten sejak merdeka.

Ini berasaskan prinsip keamanan, keadilan serta penghormatan terhadap Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan undang-undang antarabangsa.

“Malaysia menolak penjajahan, pendudukan asing, pelanggaran undang-undang antarabangsa termasuk hak asasi manusia serta dasar aparteid. Sokongan teguh kami terhadap perjuangan rakyat Palestin adalah selari dengan prinsip asas dasar luar negara,” menurut kenyataan itu.

Wisma Putra turut menegaskan Malaysia akan terus bekerjasama dengan komuniti antarabangsa dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan serta menyokong penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berasaskan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Kenyataan itu turut menekankan bahawa keadilan dan akauntabiliti adalah penting bagi menjamin keamanan berkekalan.

Ia turut menegaskan rejim Zionis Israel perlu dipertanggungjawabkan atas ketidakadilan berterusan serta pelanggaran undang-undang antarabangsa terhadap rakyat Palestin.

Sejak serangan Israel ke atas Gaza pada Oktober 2023, pihak Kementerian Kesihatan Palestin melaporkan lebih 65,200 kematian di kalangan warga Palestin.

Manakala 166,271 rakyat Palestin cedera, mencerminkan krisis kemanusiaan yang parah.